
SEBAGAI pendidik pada hari ini mempunyai cabaran cukup besar untuk melahirkan insan seimbang yang hebat ilmunya dan akhlaknya.
Anak-anak kita semakin jauh dengan pegangan agama sampai menganggap agama tidak penting dalam hidup mereka. Masyarakat umumnya semakin lalai dan leka dengan keseronokan duniawi malah bersikap ‘materialistik’ dan ‘individualistik’. Naudzubillahi min dzalik.
Suatu usaha yang berterusan bagi memperkembangkan potensi individu yang seimbang daripada segi intelek dan spiritual mereka.
Oleh itu, pagi ini saya hadir ke Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu dan diamanahkan untuk menerangkan konsep Pendidikan Rabbani Teras Kesejahteraan Ummah.
Saya mulakan ucapan dengan membaca firman Allah S.W.T dalam surah Ali Imran ayat ke 79:
مَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُؤۡتِيَهُ ٱللَّهُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحُكۡمَ وَٱلنُّبُوَّةَ ثُمَّ يَقُولَ لِلنَّاسِ كُونُواْ عِبَادٗا لِّي مِن دُونِ ٱللَّهِ وَلَٰكِن كُونُواْ رَبَّٰنِيِّـۧنَ بِمَا كُنتُمۡ تُعَلِّمُونَ ٱلۡكِتَٰبَ وَبِمَا كُنتُمۡ تَدۡرُسُون
“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah”. Tetapi (sepatutnya ia berkata): “Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala – dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.”
Soal pendidikan ini mestilah diadunkan dengan ilmu yang dimiliki dengan realiti kehidupan manusia. Konsep pendidikan bersepadu yang seimbang dari aspek duniawi dan akhirat mampu melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia serta boleh menghalang fahaman unsur dualisme dan sekular.
Ditegaskan Ibn Khaldun bahawa pendidikan merupakan proses untuk mengubah tabiat seseorang. Memang benar, dengan ilmu sahajalah dapat membezakan yang betul dan salah. Juga dengan pendidikan dapat mengubah kehidupan kita daripada susah kepada berkemampuan.
Oleh itu, kita sebagai ibu bapa dan guru-guru adalah orang yang amat penting untuk mencetak anak-anak menjadi insan yang berilmu pengetahuan dan bertaqwa kepada Allah. Tidak cukup hanya sebagai muallim, tetapi mestilah menjadi seorang murabbi.
Terima kasih buat YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu yang menjemput saya hadir dalam pembentangan ini. Semoga Allah S.W.T terus melimpahkan barakah buat Kerajaan Negeri Terengganu secara keseluruhannya. Amin.
YB SENATOR USTAZ IDRIS AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 6/1/2022
Sumber Asal: https://m.facebook.com/225083869659930/posts/288875256614124











