Pembunuhan Soleimani: Iran gesa Trump dibicara

Ebrahim Raisi sedang menyampaikan ucapannya pada acara di Grand Mosalla di Tehran pada 3 Januari 2022, yang diadakan bersempena majlis ulang tahun kedua pembunuhan Qasem Soleimani dalam serangan dron maut di Iraq pada 3 Januari 2020. (FOTO AP)
- Advertisement -

TEHRAN: Presiden Iran, Ebrahim Raisi menggesa agar bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dibicarakan atas dakwaan terbabit dalam pembunuhan seorang jeneral Iran terkenal, Qasem Soleimani di Iraq dua tahun lalu, atau berdepan dengan tindakbalas Iran.

Dalam ucapan menerusi televisyen pada Isnin (3 Jan), Raisi berkata, sebagai penjenayah dan pembunuh utama yang mengarahkan serangan dron maut ke atas konvoi Soleimani di Iraq pada 3 Jan 2020, Trump perlu menghadapi ‘ketetapan Allah’ dan menderita ‘qisas’, yang merupakan istilah Islam untuk membalas dendam dalam bentuk hukuman.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Raisi menggesa agar sebuah mahkamah keadilan di peringkat antarabangsa segera dibentuk bagi membicarakan Trump; bekas Setiausaha Negara, Mike Pompeo serta pegawai-pegawai tinggi AS lain agar dijatuhi hukuman setimpal atas penglibatan mereka dalam pembunuhan Soleimani itu.

“Qasem Soleimani merupakan salah seorang tokoh paling berpengaruh di Iran pada masa itu (2020), dan sedang dalam misi diplomatik di Baghdad atas jemputan kerajaan Iraq apabila AS menyasarkannya (serangan maut dron) berhampiran lapangan terbang di bandar raya itu,” ujarnya dalam ucapan tersebut.

Bertindakbalas atas pembunuhan Soleimani itu, Iran berikrar melakukan tindakan ‘balas dendam yang keras’ dan beberapa hari kemudian melancarkan lebih daripada sedozen peluru berpandu ke dua lokasi pangkalan AS di Iraq, yang bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kemalangan jiwa. 

Donald Trump dirakam pada satu majlis di Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat pada 5 Jun 2020. (FOTO Getty Images)

Negara itu kemudiannya menetapkan pengunduran sepenuhnya pasukan tentera AS dari rantau berkenaan sebagai matlamat utamanya kerana ia berjanji membalas dendam atas pembunuhan Soleimani.

Sementara itu, pegawai kehakiman Iran berjanji untuk meneruskan tindakan susulan pembunuhan itu di peringkat tempatan dan antarabangsa, menyaksikan sebuah mahkamah tempatan telah ditubuhkan semalam (3 Jan).

Iran sebelum ini telah meminta Interpol mewartakan ‘notis merah’ untuk penahanan Trump dan berpuluh-puluh pegawai AS lain yang terbabit dengan serangan dron maut berkenaan.

Negara itu juga telah menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengeluarkan resolusi terhadap AS dan Israel yang didakwa berkomplot dalam serangan dron berkenaan, untuk mengutuk tindakan mereka itu dan menghalang serangan serupa pada masa hadapan.

Qasem Soleimani merupakan salah seorang tokoh paling berpengaruh di Iran pada tahun 2020.

Semalam, Raisi menyampaikan ucapannya pada satu acara di Grand Mosalla di sini sebagai menandakan ulang tahun kedua pembunuhan Soleimani. 

Acara itu disiarkan secara langsung di televisyen yang turut menampilkan deklamasi puisi, kibaran bendera dan pidato.

Acara dan program untuk memperingati bekas komander Pasukan Quds Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) itu bermula pada Jumaat lepas dan diteruskan semalam, dengan perhimpunan di kampung halaman Soleimani di Kerman dan bandar-bandar lain di seluruh Iran.

Acara berkenaan dihadiri pegawai–pegawai tinggi dan wakil-wakil sekutu serantau seperti Palestin, Syria dan Yaman yang merupakan sebahagian daripada apa dikenali sebagai ‘paksi penentangan’, yang disokong Iran dan dikembangkan oleh Soleimani selama beberapa dekad.

Semasa ucapannya itu juga, Raisi melabelkan Soleimani sebagai bukan sekadar seorang manusia biasa. 

“Dia (Soleimani) bukan sekadar seorang manusia tetapi sebuah (budaya) sekolah. Dan sekolah ini tidak akan dapat dimusnahkan oleh keganasan mahupun peluru berpandu,” tegasnya. – AL-JAZEERA

- Advertisement -