Fertigasi al Falah bantu PPWK Jelawat tambah dana

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Jelawat melangkah setapak lagi apabila melaksanakan projek tanaman fertigasi al Falah.

Pengurus projek, Atikah Husin berkata, projek yang diusahakan bersama Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) tersebut dilaksana sejak dua tahun lalu.

Katanya, dana daripada Tabung PPWK sebanyak RM1,000 dijadikan modal ketika memulakan 500 tanaman lada di pekarangan PPWK Jelawat bagi memberi pendedahan kepada peserta PPWK.

- Advertisement -

“Pada peringkat awal, kita mampu mendapat pulangan sehingga RM3,000, namun pusingan kedua tidak berapa menjadi kerana serangan penyakit.

“Kita beli anak pokok lada, sabut kelapa, sekam padi dan 500 polibag menggunakan sebahagian hasil jualan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Atikah juga berkata, projek tanaman fertigasi al Falah itu turut mendapat bantuan daripada suaminya, Nik Alfalani Ahmad, 56, khususnya bagi kerja-kerja meracun serangga perosak.

Malah kata beliau hasil tanaman itu turut dipasarkan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Baru Tunjung dan keuntungannya disalurkan ke dalam Tabung PPWK Dun Jelawat.

Beliau pernah mendapat pendedahan mengenai tanaman fertigasi berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif dilakukan untuk menjana pendapatan PPWK.

“Projek yang dilaksanakan dua tahun lalu, di mana saya dihantar menimba pengalaman tanaman fertigasi. Projek ini mampu memberi pulangan dan ilmu kepada peserta PPWK,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/1/2022

- Advertisement -