Lima kuasa global ikrar elak konflik nuklear

- Advertisement -

PARIS: Lima kuasa nuklear global berikrar pada Isnin (9 Jan) bagi menghalang penggunaan senjata atom secara berleluasa dan mengelak konflik nuklear.

Dalam satu kenyataan bersama yang jarang berlaku itu,  lima negara berkenaan yang  terdiri daripada Amerika Syarikat, China, Perancis, Rusia dan United Kingdom dilihat komited dalam mengetepikan ketegangan Barat-Timur yang semakin meningkat untuk mengesahkan semula matlamat dunia bebas nuklear.

- Advertisement -

Kelima-lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) itu berkata, mereka percaya bahawa penggunaan senjata nuklear secara berleluasa perlu dihalang, selain memastikan perang nuklear global tidak tercetus atau dimenangi mana-mana pihak.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas semakan terbaharu Perjanjian mengenai Non-Proliferasi Senjata Nuklear (NPT), yang ditangguhkan daripada jadual asal pada 4 Januari hingga akhir tahun ini susulan penularan Covid- 19.

Di sebalik ketegangan yang ketara baru-baru ini antara kedua-dua China dan Rusia serta rakan kongsi Barat mereka, lima kuasa dunia itu berkata mereka melihat bahawa  ia menjadi tangungjawab bersama bagi mengelak perang antara negara-negara senjata nuklear global.

Menara penyejuk loji kuasa nuklear Gundremmingen di Bavaria, Jerman yang dirakam pada 31 Dis 2021. (FOTO AP)

“Kami masing-masing berhasrat untuk mengekal dan mengukuhkan lagi langkah negara kami untuk mencegah penggunaan senjata nuklear yang tidak dibenarkan atau tidak disengajakan,” ujar kenyataan lima kuasa global berkenaan.

Semua negara terbabit turut berikrar mematuhi  artikel penting dalam NPT.

“Kami tetap komited terhadap kewajipan NPT, termasuk kewajipan Artikel 6 kami” mengenai perjanjian pelucutan senjata am dan lengkap di bawah kawalan ketat,” tambah kenyataan tersebut

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sebanyak 191 negeri telah menyertai perjanjian berkenaan yang mana peruntukan perjanjian itu memerlukan kajian semula operasinya setiap lima tahun. – AFP

- Advertisement -