
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | FOTO RIZAL TAHIR
TUMPAT: Langkah kerajaan melaksanakan undi 18 tahun bermula tahun ini bagi membolehkan mereka mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dianggap selari dengan dasar PAS.
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, undi 18 tahun itu bukan sesuatu yang pelik.
Ini kerana katanya dalam Islam usia baligh ialah usia 15 tahun dan umur tersebut boleh diterima untuk menjadi ahli PAS.
“Dengan kata lain ini bermakna Islam mendahului demokrasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Mek Awey di SPP Taman Kota Warisan Berangan di sini semalam.
Pelancaran Stesen Mek Awey itu merupakan yang ketiga selepas Bandar Baru Tunjong dan Pulai Chondong.
Pada akhir Oktober lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, Undi18 akan dilaksanakan bermula Januari 2022 seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Kuching, Sarawak sebelum ini.
Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS turut menggalakkan ahli-ahlinya mendidik anak-anak mereka mengenali perjuangan Islam sejak kecil lagi.
“Melihat perkembangan yang berlaku sekarang PAS yakin golongan muda khususnya pengundi 18 tahun akan bersama-sama perjuangan parti itu.
“Bagaimanapun usaha mendekati pengundi 18 tahun perlu digerakan. Kita juga telah tubuh pasukan khas untuk turun padang mendekati golongan berkenaan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/1/2022




















