
Oleh YUSMAN AWANG
Malaysia memulakan tahun 2021 dengan mencatat pertumbuhan ekonomi hasil impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang telah diputuskan kerajaan untuk dilaksanakan dalam tempoh 14 hari bermula jam 12.01 tengah malam, 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.
Berdasarkan prestasi bulanan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kesan awal pelaksanaan PKP 2.0 itu telah menyebabkan pertumbuhan pada bulan Januari menyusut sebanyak 3.5 peratus, disusuli dengan penguncupan sebanyak 3.6 peratus pada Februari.
Namun, pertumbuhan KDNK pada Mac sebaliknya telah melonjak sebanyak 6.0 peratus, iaitu nilai yang tertinggi sejak Mac 2020.
Ia adalah susulan langkah segera kerajaan yang berusaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara bagi menyokong sektor perniagaan, selain penyediaan bantuan secara bersasar kepada rakyat dan sektor ekonomi yang masih terkesan impak pandemik Covid-19.
Sudah tentu ia dicapai melalui hasil pelaksanaan pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion pada Januari; dan pelaksanaan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bernilai RM20 bilion pada pertengahan Mac 2021.
Kedua-dua pakej ini melengkapi pelbagai inisiatif Belanjawan 2021 yang berterusan dilaksanakan seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Geran Khas Prihatin dan juga Program Subsidi Upah.

Sehubungan itu, pada 11 Mei 2021, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2021 (S1 2021) ialah -0.5 peratus dari tahun ketahun, iaitu penguncupan yang jauh lebih kecil berbanding -3.4 peratus pada suku keempat 2020 (S4 2020).
Kadar ini jelas mencerminkan prestasi ekonomi negara yang semakin memberangsangkan dan menunjukkan bahawa ia kian menuju ke arah pemulihan, walaupun PKP 2.0 dilaksanakan sepanjang tempoh tersebut.
Pertumbuhan S1 2021 ini didorong oleh pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 6.0 peratus (berbanding S4 2020, 3.0 peratus) dan sektor pertanian sebanyak 0.4 peratus (S4 2020, -1.0 peratus) dari tahun ke tahun.

Secara keseluruhan, kesemua sektor ekonomi negara telah menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini, seperti dalam sektor perlombongan dan pengkuarian sebanyak -5.0 peratus (S4 2020, -10.4 peratus), perkhidmatan sebanyak -2.3 peratus (S4 2020, -4.8 peratus), dan pembinaan sebanyak -10.4 peratus (S4 2020,-13.9 peratus).
Pelbagai petunjuk ekonomi utama juga turut mencerminkan tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan pada suku pertama 2021, terutama dari segi keupayaan Malaysia untuk kekal berdaya saing sebagai salah satu pengeksport utama di rantau ini.
Ia adalah susulan pada Mac 2021, apabila nilai keseluruhan eksport Malaysia mencecah RM100 bilion, iaitu jumlah tertinggi semenjak 44 bulan sebelum itu.
Jumlah eksport juga telah meningkat sebanyak 31.0 peratus kepada RM104.9 bilion berbanding Mac 2020.
Secara keseluruhan, jumlah perdagangan negara melonjak sebanyak 25.6 peratus dari tahun ke tahun kepada RM185.7 bilion, yang mana negara telah mencatat lebihan dagangan bagi bulan ke-11 berturut-turut sejak Mei 2020 berjumlah RM24.2 bilion, atau 96.1 peratus lebih tinggi berbanding Mac 2020.

Satu lagi faktor ialah bahawa Malaysia juga kekal sebagai salah satu destinasi utama pelaburan di rantau ini.
Dari Januari hingga 23 April 2021, negara telah memperoleh dana pelaburan asing langsung (FDI) sebanyak RM81.9 bilion, yang mana pada S1 2021, sejumlah RM9.1 billion merupakan aliran masuk bersih (berbanding S4 2020, RM6.8 bilion).
Semua pelaburan ini adalah jenis berkualiti tinggi termasuk dalam sektor teknologi, inovasi, teknologi hijau, kenderaan elektrik dan teknologi kewangan.
Justeru, tidak menghairankan apabila ekonomi Malaysia melonjak pada suku kedua 2021 tahun ke tahun dengan KDNK berkembang sebanyak 16.1 peratus berbanding -0.5 peratus pada suku pertama tahun ini.

Menurut kenyataan Bank Negara Malaysia pada 13 Ogos 2021, perkembangan positif itu disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.
Namun bak pepatah, ‘langit tak selalu cerah’, ekonomi Malaysia pada suku ketiga tahun ini bertukar lemah apabila ia tiba-tiba menguncup sebanyak 4.5 peratus, impak pelaksanaan langkah pembendungan ketat terutama pada Julai 2021 di bawah fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan media pada 12 November 2021 berkata, prestasi ekonomi pada suku ketiga itu dikaji dari segi penawaran dipengaruhi oleh kemerosotan dalam semua sektor utama ekonomi, terutama sektor pembuatan dan perkhidmatan.
Dari sudut permintaan, semua komponen perbelanjaan mencatatkan prestasi negatif kecuali perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan.
Sementara, prestasi mengikut sektor pula menunjukkan perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia menyusut 4.9 peratus pada suku tahun ketiga 2021, berbanding pertumbuhan positif 13.5 peratus pada suku tahun sebelumnya.
Namun, prestasi ekonomi bulanan negara 2021 semakin pulih daripada kejatuhan 7.6 peratus pada Julai kepada penyusutan 4.7 peratus pada Ogos dan terus bertambah baik kepada -1.1 peratus menjelang September 2021.

Sehubungan itu, menurut DOSM, ekonomi Malaysia menunjukkan perkembangan positif apabila ia meningkat sebanyak 3.0 peratus bagi tempoh sembilan bulan dari Januari hingga September 2021 berbanding -6.4 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Dalam kenyataan pada 27 November 2021, Mohd Uzir menjelaskan bahawa walaupun KDNK Malaysia merekodkan penyusutan 4.5 peratus pada suku ketiga 2021, namun peralihan berterusan fasa PPN mengurangkan impak terhadap penguncupan KDNK berkenaan.
Justeru, ekonomi utama Malaysia menunjukkan momentum pemulihan yang menggalakkan bagi suku keempat 2021 dan seterusnya menjanjikan sinar harapan yang cerah untuk 2022 agar dapat mencapai sasaran KDNK antara 5.5 hingga 6.5 peratus.
Ini bermakna bagi menjana kemajuan ekonomi ke arah berpendapatan tinggi, Malaysia perlu dijadikan sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030 sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob

Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 27 September 2021, Ismail Sabri berkata, kerajaan perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.
RMK12 bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19.
Dengan objektif ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, matlamat RMK12 bukan sekadar untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.
“Untuk itu, negara tiada pilihan selain menerima guna teknologi baharu dan berusaha mencipta serta membangunkan teknologi sendiri dan menjadi negara,” tegas beliau.
Usaha ke arah itu adalah dengan langkah mempercepatkan penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju, termasuk teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Pada awal 2021, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) telah dilancarkan sebelum diikuti dengan Dasar 4IR Negara.
Perancangan dasar, pelaksanaan serta pemantauan inisiatif 4IR dan pendigitalan negara diselaraskan melalui Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara.
Langkah mempercepatkan pelaksanaan 5G di seluruh negara dicetuskan melalui pelaburan berjumlah RM15 bilion oleh sektor swasta.
Projek pembangunan Identiti Digital Nasional juga sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.
Susulan teknologi digital telah banyak mencorak kehidupan rakyat pada masa kini dengan pembelajaran golongan pelajar telah terganggu disebabkan kekurangan peralatan dan akses kepada teknologi, kerajaan jelas komited untuk meningkatkan infrastruktur dan perkhidmatan digital bagi menangani pelbagai jurang digital.

Ia bakal dicapai melalui pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara atau JENDELA bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk, liputan 5G yang lebih luas, dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang tahun 2025.
Sehingga Ogos 2021, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G. Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih enam ribu premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah melancarkan rangkaian 5G yang pertama di Kuala Lumpur seperti yang dirancang di bawah MyDIGITAL.

Pelancaran itu adalah untuk tahun yang pertama sebelum mencapai kira-kira 36 peratus liputan di seluruh negara. Kemudian secara berperingkat-peringkat liputan 5G akan diperluaskan selepas dilancarkan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.
Menjelang 2022, pelancaran 5G akan ditumpukan pula di negeri padat penduduk termasuk Pulau Pinang, Selangor, Johor, Sabah dan Sarawak.
Perkhidmatan 5G adalah ‘game changer’ bagi ekonomi negara untuk masa hadapan yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dalam kegiatan-kegiatan berteknologi tinggi dengan menggunakan perkhidmatan 5G.
Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK menjelang 2025.

Jelas sekali, kerajaan menyasarkan untuk mewujudkan satu ekosistem dalam ekonomi diterajui sains, teknologi dan inovasi yang akan memudahkan pembangunan teknologi tempatan dengan mewujudkan peluang ekonomi dan melahirkan bakat atau tenaga kerja dalam bidang Kecerdasan Buatan, Internet Benda dan Teknologi Blockchain.
Sehubungan itu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri untuk menjadikan Malaysia negara berteknologi tinggi menjelang 2030, yang selaras dengan selari dengan matlamat Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030.
Seiring dengan DSTIN 2021-20230, MOSTI ketika ini sedang membangunkan 17 pelan hala tuju teknologi.
Dalam kenyataan pada 17 Oktober 2021, Menterinya, Dato’ Seri Dr. Adham Baba berkata, pelan hala tuju itu bakal membantu pembangunan ekonomi, peningkatan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat dalam usaha mencapai status negara berteknologi tinggi pada 2030.

Pelan hala tuju itu mengandungi aspek seperti kecerdasan buatan, blockchain, elektrik serta elektronik, bahan termaju, robotik dan vaksin. Ia juga adalah selaras dengan 10 pemacu sains dan teknologi dan 10 pemacu sosioekonomi seperti yang terdapat dalam Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (MySTIE 10-10) iaitu inisiatif yang menyokong DSTIN 2021-2030.
Dalam pada itu, pada 16 November 2021, MOSTI juga telah melancarkan Dasar dan Strategi Nanoteknologi Negara 2021-2030 (DSNN) khusus bertujuan mentransformasikan Malaysia daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.
DSNN juga selari dengan matlamat (DSTIN) 2021-2030 dengan mengetengahkan potensi nanoteknologi yang mampu menyelesaikan cabaran dihadapi negara, yang termasuklah masalah pencemaran alam sekitar, penjanaan tenaga boleh baharu, hasil pertanian dan keselamatan makanan serta pelbagai bidang keutamaan negara.
Pelaksanaan DSNN akan memberi manfaat kepada pembentukan ekosistem nanoteknologi negara yang dinamik dan progresif, yang salah satu teras kepada pelaksanaan Polisi Revolusi Perindustrian (4IR) Kebangsaan.

Sehubungan itu, berdasarkan MySTIE 10-10, muncul aspirasi memperkasa industri kenderaan elektrik di negara ini, menyaksikan MOSTI telah mengambil langkah awal ke arah memperkasa pembangunan, validasi dan pengkomersialan pembangunan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).
Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri.
Bagi memperkasa teknologi EV, MOSTI menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi itu, seterusnya mencapai hasrat meletakkan negara sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau ASEAN.

Sehubungan itu, MOSTI memaklumkan program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) oleh NanoMalaysia telah menerima Dana Penyelidikan Strategik di bawah Malaysia Grand Challenge.
Selain itu satu inisiatif sampingan EMERGE iaitu Rapid Electric Vehicles Innovation Validation Ecosystem (REVIVE) juga telah diwujudkan untuk memberi fokus kepada penukaran enjin biasa kepada enjin elektrik.
Apa yang pasti, segala cabaran terhadap perkembangan ekonomi negara sepanjang 2021, khususnya impak pandemik Covid-19 bukan melemahkan tetapi sebaliknya menjadikan Malaysia bangkit untuk melangkah ke arah menjadi negara berteknologi tinggi pada masa hadapan. Insya-Allah. Selamat Tahun Baru 2021. – HARAKAHDAILY 31/12/2021




















