Situasi banjir di negeri Selangor

- Advertisement -

KEADAAN banjir di Negeri Selangor secara keseluruhannya sudah beransur reda namun semua pihak terutama yang berada di kawasan yang sering terjejas digesa terus dalam keadaan berjaga-jaga oleh kerana cuaca kebelakangan ini yang masih tidak menentu.

PAS Selangor telah terlibat dalam operasi menyelamat dan menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa di kawasan-kawasan terjejas sejak hari pertama iaitu pada hari Sabtu 18 Disember 2021 dengan menggerakkan para petugas dan sukarelawan parti di seluruh negeri yang melibatkan 22 Kawasan PAS seluruh Selangor. 

- Advertisement -

Agensi-agensi di bawah PAS Negeri khasnya Khidmat Malaysia Negeri Selangor (KMNS) dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Selangor (JAMNS) telah membuka bilik-bilik operasi masing-masing sejak awal lagi dan telah pun berada di lapangan sejak itu.

Berikutan keadaan semasa di lapangan, tumpuan kini diberikan kepada kerja-kerja pembersihan kawasan-kawasan kediaman penduduk yang terjejas akibat bencana ini termasuklah masjid-masjid, surau-surau dan tempat-tempat awam lain.

Menurut Markaz Induk Operasi Banjir KMNS setakat 22 Disember 2021 sebanyak 6 kawasan iaitu Kuala Langat, Klang, Kota Raja, Sepang dan Hulu Langat masih berada dalam status ‘terjejas’ dan ‘perlukan bantuan’ manakala kawasan-kawasan Kapar, Kuala Selangor, Puchong, Sg Buloh dan Bangi pula dalam status ‘terjejas’ dan ‘dalam pemantauan’. Kawasan yang ‘terkawal’ adalah Hulu Selangor, Ampang, Tg Karang, Gombak dan Petaling Jaya.

Petang semalam 22 Disember 2021 DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah telah sudi mencemar duli bergotong-royong pembersihan bersama-sama penduduk di beberapa kawasan bencana banjir di daerah Kuala Langat termasuk di Kampung Batu 9, Kebun Baru, Teluk Panglima Garang di Kuala Langat bagi membersihkan Masjid al Amin di sana yang terjejas akibat banjir. 

Turut serta adalah Ahli Dewan Negeri Sijangkang YB Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor serta para petugas parti dan anggota JAMNS. YB Tuan Hj Razman Zakaria Pesuruhjaya PAS Perak dan rombongan PAS Perak turut hadir membantu.

Pesuruhjaya PAS Selangor mengalu-alukan segala bentuk bantuan dan sumbangan dari orang-ramai yang boleh menampung kos kerja-kerja pemulihan di lapangan. Bagi memudahkan mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kewangan ianya bolehlah disalurkan terus ke akaun Bank Islam Perhubungan PAS Negeri Selangor nombor akaun 120 100 100 06093.

Sementara itu PAS Selangor juga telah menubuhkan Bilik Gerakan Info Bencana bertempat di Pejabat Badan Perhubungan PAS Selangor di Shah Alam. Bilik Gerakan ini beroperasi untuk menyampaikan maklumat dan menyelaras sumbangan dan bantuan serta kunjungan mana-mana delegasi bantuan ke Negeri Selangor. Sesiapa yang ingin berurusan bolehlah membuat panggilan ke talian 03 5523 3718.

ROSLAN SHAHIR DATO’ MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 23/12/2021

- Advertisement -