
TAMBUN: Penubuhan Dewan Ulamak PAS Kawasan Tambun diharap akan memperkemas lagi perjalanan dakwah PAS dalam arena politik negara, demikian ulas Ketua Ulamak PAS Tambun, Ustaz Rusdi Saad.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sulungnya selepas dilantik mengetuai jawatan itu di Dewan Kuliah Pusat Pengajian Asatizah Tambun, Halaman Meru Permai, di sini baru-baru ini,
Menurutnya, sebelum ni Urusan Ulamak PAS Tambun sudah sekian lama bergiat aktif dalam membantu gerak kerja parti dan mendapat sambutan yang baik dari golongan asatizah Tambun sekitar sehinggalah diarahkan untuk bergerak sebagai Dewan.
“Alhamdulillah Dewan Ulamak PAS Kawasan ditubuhkan secara rasmi dengan kelulusan dari ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan). Saya berharap agar ahli Dewan Ulamak PAS ini menjadi pemangkin perpaduan khususnya di Tambun ini.
“Saya juga berharap gerak kerja yang jitu dari ahli untuk menggerakkan kerja mengislahkan masyarakat. Usaha ini tidak mampu dibuat secara individu. (Maka) kita mesti bergerak secara berpasukan atau lebih tepat lagi secara berjemaah,” ujarnya
Ustaz Rusdi dalam pada itu berharap agar setiap ahli Dewan Ulamak PAS Tambun sentiasa berusaha menjadi contoh tauladan agar mampu membawa agenda dakwah kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
Yang Dipertua PAS Tambun, Ustaz Md Salleh Said dalam pada itu memuji peranan telah dimainkan para asatizah khususnya dalam menyuburkan ilmu menerusi Pusat Pengajian Asatizah Tambun, di sini.
“Banyak program dakwah dan usaha mendekati masyarakat telah mereka laksanakan termasuk dengan menggunakan platform media sosial. Kini dengan penubuhan Dewan Ulamak PAS Tambun akan memperkukuhkan lagi peranan mereka,” ujarnya.
Pusat pengajian itu menurutnya, dapat menampung 100 individu mengikuti kelas Bahasa Arab dan Tasauf dalam satu-satu masa di mana kekal aktif sejak dirasmikan Mudir Am Maahad Tahfiz Dar Al-Abrar, Ustaz Ibrahim Zakaria pada November lalu.
Malah, banyak lagi program lain sedang diusahakan dan sumbangan orang ramai amat dialu-alukan ke akaun Affin Bank Berhad 1068 2000 5367 atas nama Asatizah Tambun Resources atau hubungi 010-516 5800 untuk pertanyaan.
Hadir sama Ahli Jawatankuasa Dewan Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Arman Yusof dan Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan serta pimpinan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. – HARAKAHDAILY 23/12/2021












