Covid-19 jejas eksport batik Malaysia

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Penularan Covid-19 di seluruh dunia turut memberi kesan terhadap industri batik di negara ini yang hanya mencatat nilai eksport sebanyak RM289,000 sepanjang 10 bulan pertama tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Nancy Shukri, berkata sepanjang tempoh antara 2016 hingga 2020, dagangan eksport batik Malaysia oleh pengusaha kraf berdaftar adalah sebanyak RM6.7 juta.

- Advertisement -

Katanya, nilai yang agak rendah tahun ini sudah dijangka ekoran penularan Covid-19 di seluruh dunia yang bukan saja memberi impak kepada penutupan sempadan, malah mempengaruhi ekonomi global.

“Bagaimanapun, jumlah dagangan eksport batik Malaysia dijangka akan kembali pulih selepas sektor ekonomi dibuka sepenuhnya yang memberi kelebihan kepada usahawan batik untuk memasar dan mempromosikan produk mereka,” katanya menjawab soalan lisan Senator Dato’ Isa Ab Hamid di Dewan Negara, hari ini.

Nancy berkata, industri batik mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila pada tahun 2009, bilangan usahawan kraf batik yang berdaftar ialah seramai 120 orang dengan nilai jualan sebanyak RM 30.9 juta.

Sedekad kemudian, katanya bilangan usahawan kraf batik meningkat kepada 700 orang dengan nilai jualan pada 2019 sebanyak RM176.4 juta.

“Industri batik terus menunjukkan perkembangan yang positif dengan jumlah usahawan batik sehingga 31 Oktober lalu meningkat kepada 775 orang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan, katanya walaupun batik negara lain dilarang diimport ke negara ini, kementerian mengakui terhadap kelompangan dalam penguatkuasaan.

Menurutnya, kawalan lebih mudah jika batik luar negara dibawa masuk dalam bentuk batik yang siap dijahit, tetapi keadaan berbeza jika dibawa dalam bentuk belum dijahit, iaitu batik gulung.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan bagi meningkatkan tindakan penguatkuasaan terhadap batik import, sekali gus melindungi industri batik tempatan. – HARAKAHDAILY 21/12/21

- Advertisement -