
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) turut menggerak misi kemanusiaan bagi membantu mangsa banjir di beberapa kawasan di Shah Alam dan Klang.
Atas dasar keprihatinan itu selari dengan konsep UniMAP for Society, UniMAP menghantar seramai 70 sukarelawan bagi membantu mangsa banjir di lokasi terbabit.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, misi bantuan itu melibatkan 67 pelajar dan tiga staf universiti bertolak malam tadi menggunakan dua bas.
“Misi bantuan ini akan dilaksanakan dua fasa bermula 20 hingga 22 Disember dan diikuti kumpulan kedua pada 22 hingga 24 Disember ini.
“Sukarelawan akan ke kawasan dilanda banjir untuk membantu penduduk yang terkesan termasuk di PPS terpilih dan kawasan sekitar Shah Alam dan Klang.
“Mereka akan membantu melaksanakan tugasan mencuci dan membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir,” katanya pada kenyataan selepas melakukan pelepasan Misi Sukarelawan UniMAP: OPS Kasih Banjir 2021 di Bangunan Canselori universiti tersebut malam tadi.
Hadir sama Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P), Prof Madya Ts Ir Dr Muzammil Jusoh; dan Timbalannya, Ts Dr Norshah Aizat Shuaib.
Misi tersebut juga turut membantu lebih 120 pelajar universiti tersebut di lokasi banjir selepas pulang bercuti sebelum ini.
Dr Zaliman juga berkata, kenderaan pacuan empat roda UniMAP yang diketuai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan bertolak jam 2.00 petang semalam bagi mengenal pasti lokasi dan situasi pelajar terlibat.
“UniMAP juga akan menyalurkan bantuan berupa keperluan asas dan wang tunai RM200 menerusi dana Tabung Kebajikan dan Tabung Bencana kepada pelajar-pelajar berkenaan.
“Malah pihak kami juga turut melancarkan Tabung Bantuan Banjir Lembah Klang bagi mengumpul dana kewangan untuk membeli keperluan asas supaya dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa,” katanya.
Beliau juga berharap sukarelawan menjaga keselamatan diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Ahmad Nabil Nazari, 20, peluang menyertai misi itu sebagai pengalaman baharu buat dirinya.
“Sebagai mahasiswa, saya bersedia membantu mangsa banjir dan berharap usaha kami akan menjadi pendorong masyarakat untuk sama-sama menghulurkan bantuan,” katanya yang berasal dari Melaka.
Presiden Kelab Sukarelawan UniMAP Nur Anis Rafiqa Mohammad Nasir, 23 berharap lebih ramai individu dan badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu mangsa banjir.
“Inilah peluang kita untuk menabur bakti kepada masyarakat dan secara peribadi saya berharap kehadiran kami akan membantu meringankan beban mereka” katanya.
Bagi anak kelahiran Kedah terbabit, warga Malaysia harus saling membantu ke arah mencapai kesejahteraan dan kemakmuran bersama Keluarga Malaysia. – HARAKAHDAILY 21/12/2021











