
BENTONG: Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) telah bergegas menggerakkan anggota membantu kerja-kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang di Jalan Bentong – Raub, di sini hari ini.
Timbalan Pengarah III Khidmat Malaysia Negeri Pahang, Ustaz Roslan Md Esa berkata, kejadian pokok yang tumbang seperti ini adalah kejadian biasa setiap kali menghadapi musim hujan di mana telah turun sejak beberapa hari ini.
“Alhamdulillah kerja-kerja memotong pokok, dahan-dahan serta mengalihkan pokok-pokok tumbang tersebut telahpun dilaksanakan dengan baik. Mengawali kehadiran kami adalah team Roadcare dan pihak-pihak lain yang konsisten dengan kerja mereka.
“Kami beredar meninggalkan lokasi kejadian pokok tumbang setelah pembersihan dilakukan dengan sempurna,” ujar beliau yang juga Penyelaras PAS DUN Ketari.
Turut bersama adalah Pertubuhan Cakne Rakyat dan Abrar Care Malaysia di mana mereka selanjutnya telah ke Benus dan Sungai Perting serta Sungai Marong meninjau situasi di situ yang sering berlaku keadaan air naik.
Kehadiran mereka turut bersama anggota pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang sangat prihatin dan bersiap sedia untuk membantu serta menghadapi sebarang kemungkinan dalam situasi sekarang.
“Apapun pastinya ujian yang datang adalah tarbiyah dari yang Maha Esa untuk kita semua, insya-Allah kita teruskan berdoa semoga Allah memelihara kita semua dan tidak menguji kita dengan suatu perkara yang kita tidak mampu hadapi,” ujar beliau lagi.
Ustaz Roslan juga memberitahu, Khidmat Malaysia Pahang khususnya Zon Barat telah bersiap siaga dengan penyusunan pasukan dan kelengkapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Cuma memanglah sukar untuk dijangka bagaimana bentuk tahap musibah banjir, pokok tumbang, tanah runtuh, jalan runtuh. Namun kita akan terus memantau perkembangan ini.
“Kita akan terus berkolaborasi dengan Khidmat Malaysia dari kawasan-kawasan dalam Zon Pahang Barat ini seperti Raub, Lipis, Bentong, Cameron Highland serta kerjasama bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan.
“Kita akan bersama-sama membantu rakyat yang dalam keadaan kesusahan kerana musibah yang melanda. Nasihat saya kepada penduduk, jaga diri, jaga keluarga, kita kena saling menjaga keselamatan sesama kita.
“Banjir yang melanda adalah suatu musibah yang sewajarnya mendekatkan diri kita pada Allah S.W.T. Jangan lupa doa dan munajat kita supaya Allah menyelamatkan kita dari musibah ini dan juga perkara-perkara yang kita tidak mampu hadapi,” nasihatnya.
Orang ramai juga boleh terus menyumbang menerusi akaun Cakne Rakyat Bentong di CIMB Islamic 8603211024. – HARAKAHDAILY 18/12/2021





















