
MARAN: ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil telah mengadakan lawatan melihat situasi keluarga-keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Luit, di sini hari ini.
Hujan yang berterusan semenjak tiga hari telah menyebabkan banjir berlaku di berapa kampung antaranya Kampung Ulu Luit dan lain-lain hingga memaksa beberapa keluarga berpindah untuk mengelak sebarang risiko berikutan paras air semakin naik.
Mohd Sofian juga dalam pada itu sedang mengatur usaha kebajikan bagi memastikan hal ehwal keperluan dan kepentingan keluarga mangsa banjir tersebut dapat diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berwajib.
“Kita akan mengambil tindakan segera bagi meringankan beban mangsa-mangsa, insya-Allah,” ujar beliau.
Pada masa yang sama beliau turut mengingatkan warga Luit dan Bandar Maran agar sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada dengan keadaan semasa berikutan laporan peningkatan aras air di Sungai Jempol.
”Saya berharap penduduk yang terlibat dengan banjir sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa untuk sedia berpindah,” nasihat beliau ketika ditemui di PPS tersebut, di sini hari ini.
Awal tahun ini pertama kali dalam sejarah Bandar Maran yang berada dalam DUN Luit hampir lumpuh akibat banjir daripada limpahan anak sungai berhampiran. – HARAKAHDAILY 18/12/2021













