
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kebenaran aktiviti pelancongan rentas negeri mulai 11 Oktober lalu, memberi kesan positif kepada industri perhotelan negara apabila Purata Kadar Penghunian (AOR) meningkat kepada 42.46 peratus dan 44.64 peratus pada Oktober dan November lalu.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Dr Santhara Kumar, berkata sebagai perbandingan, data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menunjukkan bahawa kadar AOR pada tahun 2019, iaitu sebelum penularan Covid-19, adalah 59.99 peratus.
Katanya, perkembangan positif bermula pada fasa dua Program Pemulihan Negara (PPN) apabila AOS meningkat kepada 21.04 peratus dan 28.77 peratus pada Ogos dan September lalu, berbanding hanya 18.52 peratus dan 16.38 peratus pada Mei dan Jun sebelum itu.
“Mengambil kira bahawa sempadan antarabangsa negara belum dibuka sepenuhnya untuk tujuan pelancongan, serta rakyat dalam negara yang mula menyesuaikan diri dengan melancong dalam norma baharu, angka ini adalah suatu permulaan yang baik,” katanya menjawab soalan lisan Senator N Balasubramaniam di Dewan Negara, hari ini.
Balasubramaniam meminta Menteri Perlancongan, Seni dan Budaya, menyatakan adakah faktor Prosedur Operasi Standard (SOP) dan prosedur yang ketat menyebabkan sektor perhotelan masih kurang mendapat sambutan.
Santhara Kumar berkata, rakyat sudah mula menyesuaikan diri dengan gaya hidup norma baharu, manakala pembangunan SOP oleh kerajaan bukan untuk membebankan rakyat, tetapi memastikan Keluarga Malaysia dapat bersama-sama membendung penularan Covid-19.
“Keluarga Malaysia juga kini bijak menilai dan mengambil cakna jika terdapat ketidakpatuhan SOP dengan melahirkan rasa kebimbangan dan melaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, SOP membuatkan pengunjung hotel melancong dengan penuh yakin terhadap keselamatan mereka, seterusnya dapat menggunakan premis penginapan pelancongan tanpa rasa bimbang.
Katanya, kementerian akan giat meneruskan promosi dan inisiatif dalam terus merancakkan lagi industri pelancongan negara, sama ada domestik mahu pun menyambut kehadiran pelancong asing ke negara kita. – HARAKAHDAILY 13/12/21




















