Gaji guru Pasti pada 1988 hanya RM50 sebulan

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

- Advertisement -

KANGAR: Nor Hayati Abd Razak, 58, memulakan perkhidmatan sebagai guru pasti bermula pada 1988 setelah menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tujuh tahun sebelum itu.

Katanya beliau mula bekerja di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Nurul Hayah, Santan dengan gaji permulaan RM50 sebulan.

“Ketika itu, Pasti Nurul Hayah antara pasti terawal di Perlis dengan bilangan murid 40 orang,” katanya ketika ditemui di sini.

Sabtu lepas beliau menerima anugerah Tokoh Guru Istiqamah Tiga Dekad dan Anugerah Mujahidah, sempena Sambutan 3 Dekad Keguruan PASTI Malaysia 2021.

Pada sambutan itu anugerah serupa diterima Zarina Hamid yang berkhidmat selama 31 tahun, Siti Hajar Zakaria (30 tahun) dan Norhashidah Mustafa juga 30 tahun.

Sambutan tersebut diadakan di Savanna Hil Resort, Ulu Tiram, Johor Bharu. Kesemua guru terbabit dari Perlis.

Nor Hayati juga berkata, tidak pernah terlintas dalam benaknya untuk menjadi seorang guru, tambahan pula guru kepada kanak-kanak yang berumur empat hingga enam tahun perlu kesabaran tinggi.

“Suami yang paling banyak memberi motivasi dan penguat semangat dalam mengharungi pahit manis sebagai guru PASTI.

“Dia sanggup ditinggalkan untuk mengurus anak-anak semasa saya mengikuti kursus atau program yang PASTI anjurkan,” katanya.

Menurutnya juga guru zaman sekarang bukan hanya mengajar malah juga mendidik sesuai dengan visi PASTI mahu melahirkan insan soleh di Malaysia.

Di samping beliau juga terlibat aktif dengan Dewan Muslimat PAS di peringkat kawasan dan negeri.

Di peringkat kawasan beliau memegang jawatan sebagai Ahli Jawatan Kuasa PAS Padang Besar dan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Padang Besar.

Manakala peringkat negeri pula, beliau menjadi AJK Dewan Muslimat PAS Negeri Perlis. Beliau juga AJK Majlis Guru Pasti Malaysia. – HARAKAHDAILY 13/12/2021

Ikuti kisah lanjut guru istiqamah tersebut dalam Harakah edisi cetak…

- Advertisement -