PAS menang kerusi DUN bukti diterima rakyat Johor

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA TERENGGANU:
Kejayaan PAS yang pernah memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) di negeri Johor bermula 2004 menjadi bukti parti itu telah diterima oleh masyarakat di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Hussin berkata, walaupun negeri itu dianggap tidak ‘subur’ dengan kebangkitan Islam, tetapi perjuangan menegakkan Islam perlu diteruskan.

Katanya, tidak hilang wang deposit sewaktu menyertai Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) di Johor sudah dianggap menang.

- Advertisement -

“Apa lagi pada PRU 2004 kita telah mendapat satu kerusi (DUN), 2008 dua kerusi dan selepas itu empat kerusi sehinggalah pada PRU tahun 2018, PAS mendapat satu kerusi.

“Jika dikenang, PAS Johor masih mendapat kerusi pada setiap kali PRU bermula tahun 2004,” ujarnya pada parogram sempena Sambutan Ulang Tahun PAS ke-70 di Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap parti yang menguasai negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah turun membantu Johor agar perjuangan Islam di negeri itu dapat dilebarkan.

“Perjuangan ini adalah perjuangan yang jauh, namun kami bersyukur kerana sentiasa istiqamah bersama-sama dalam perjuangan,” ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha melahirkan rasa yakin parti itu akan terus menapak di hati rakyat pada masa akan datang.

Beliau menaruh keyakinan parti itu akan dapat mentadbir negara dengan lebih gagah pada masa akan datang apa lagi kini telah berada dalam kerajaan.

“Walaupun PAS belum berjaya mendapat tempat di hati rakyat di negeri itu, namun kita bersyukur kerana pada PRU12 PAS telah menang satu kerusi (DUN).

“Kemenangan itu membuktikan PAS pernah diterima oleh masyarakat Negeri Sembilan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru negeri-negeri yang dimenangi oleh PAS seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu turun membantu perjuangan di Negeri Sembilan. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

- Advertisement -