PAS kini tidak lagi seperti pungguk rindukan bulan

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KUALA TERENGGANU:
PAS kini tidak lagi seperti pungguk rindukan bulan apabila parti itu kini telah berjaya ke ‘bulan’, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Katanya, perumpamaan berkenaan sebagai simbolik parti itu kini telah menjadi sebahagian daripada kerajaan yang mentadbir negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mewakili negeri Kelantan pada acara kemuncak sempena Sambutan Ulang Tahun PAS Ke-70, di Dewan Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, jika sebelum ini ada yang menyindir PAS tidak ubah seperti ‘pungguk rindukan bulan’ kerana parti itu tidak akan berjaya berada di tampuk pentadbiran negara.

Namun katanya, kini parti itu sudah berjaya berada di ‘bulan’ dengan izin Allah.

Beliau bagaimanapun berkata, kejayaan itu dilalui dengan pelbagai keperitan ketika meniti ujian dalam perjuangan sejak sekian lamanya bermula daripada pejuang yang terdahulu.

Sambungnya, dengan istiqamah dalam perjuangan akhirnya ia telah berada pada kedudukan yang membanggakan. 

“Walaupun jumlah kita kecil dalam kerajaan, tetapi ianya begitu signifiken sehingga boleh jadi kuat dan gagah dalam kerajaan bersama sokongan parti-parti yang lain,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Kelantan, Kedah dan Terengganu dapat dijaga dengan baik pada masa akan datang.

“Sama-sama kita mendoakan supaya kita sentiasa istiqamah dalam perjuangan dan memberi kemenangan setiap perjuangan yang kita lalui,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

- Advertisement -