Pengundi Beting Maro sudah lama kenali PAS

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

BATANG LUPAR:
PAS Sarawak yakin dan mengharapkan kemenangan akan berpihak kepada calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 ini bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro.

Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee berkata, penyertaan PAS pada PRN Sarawak ke-12 ini hanyalah bertanding satu kerusi sahaja di DUN Beting Maro.

Ini kerana, katanya rekod penyertaan PAS pada setiap kali pilihan raya telah berlaku peningkatan dan sambutan penduduk terhadap parti itu juga lebih condong kepada PAS berbanding parti lain.

- Advertisement -

Menurutnya, lambang bulan juga telah lama dikenali oleh penduduk DUN Beting Maro.

“Kita lihat ada peningkatan undi berlaku setiap kali PRN Sarawak ini. Sekarang ini, mereka (GPS) guna lambang baharu dan hanya PAS serta PKR, DAP yang guna lambang lama.

“Apa yang dapat kita lihat, sambutan penduduk di DUN Beting Maro ini lebih kepada PAS. Lagi pun, lambang PAS ini orang sudah kenal lama sejak kita (PAS) bertanding tahun 2001. Jadi, ini kali kelima kita bertanding di PRN Sarawak Ke-12.

“Insya-Allah, mudah-mudahan sambutan penduduk di sini berpihak kepada PAS akan lebih baik dari sebelumnya. Sebab, saya mendapat maklumat dari penduduk di sini, bahawa wakil rakyat sebelum ini kurang memberi perhatian kepada mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily ketika menemani calon PAS, Mohamad Arifiriazul Paijo berkempen pilihan raya di Kampung Tambak, DUN Beting Maro, hari ini.

Katanya, PAS menampilkan calon pilihan raya yang lebih muda, bertenaga, wibawa dan profesional yang boleh diterima oleh penduduk setempat.

“Sebab penduduk di sini, mereka lebih kepada tengok siapa yang akan lebih memberi perkhidmatan yang terbaik. Walaupun orang tempatan, jika mereka (calon) tidak dapat beri perkhidmatan sebagai wakil rakyat dan hanya tumpu pada kawasan mereka sendiri sahaja.

“Saya rasa, insya-Allah akan berlaku peningkatan sokongan undi kepada calon kita, lagi pun di sini, pertandingan lima penjuru dan pilihan rakyat tertumpu kepada PAS, GPS dan PKR.

“Mudah-mudahan PAS akan dapat memecahkanlah tradisi selama ini. Umpama sebiji telur yang belum menetas dan mungkin kali ini, PAS dapat memecah telur itu. Jika ditakdirkan kita menang di sini walaupun kita bertanding satu kerusi sahaja, macam menang 100 peratuslah di Sarawak ini,” jelasnya.

Justeru, kata beliau, kemenangan PAS di DUN Beting Maro kali ini amat penting bagi menyuntik semangat kepada PAS kawasan-kawasan lain bahawa parti itu boleh diterima di Sarawak selepas ini.

“Saya melihat pengundi di sini lebih kepada mahukan kebajikan mereka terbela dengan kemudahan asas seperti bekalan air bersih, elektrik, internet dan sebagainya. Itulah yang selalu mereka adukan dan luahkan perasaan mereka.

“Sebelum ini pun, wakil rakyat sedia ada ini mereka jarang turun padang dan hanya ketika tertentu sahaja. Jadi inilah peluang kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, kepada pengundi-pengundi Beting Maro ini, Undilah PAS yang berlambangkan bulan penuh purnama,” ujarnya.

Pada pilihan raya kali ini, calon PAS, Arif Paijo, akan bersaing dengan empat calon lain iaitu penyandangnya, daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Razaili Haji Gapor, Abang Zulkifli Abang Engkeh (PKR), Jacky Chiew Su Chee (Parti Bumi Kenyalang) dan calon Bebas iaitu Safiudin Matsah. – HARAKAHDAILY 12/12/2021

- Advertisement -