
KUALA TERENGGANU: Selepas 70 tahun berlalu kini PAS melangkah ke gerbang usia matang selepas mengharung suka dan duka perjuangan yang penuh berliku.
Hari ini PAS menjejaki usia tujuh dekad dan menghampiri satu abad menyusuri arus politik demokrasi di negara ini.
Setiausaha Agung PAS Dato Sri Takiyuddin Hassan berkata, PAS meneruskan mata rantai perjuangan yang ditinggalkan Rasulullah saw dan para sahabat.
Katanya sejarah itu tidak dilupakan di mana ahli pertama yang berdaftar sebagai ahli PAS iaitu Ahmad Fuad Hassan, dan ahli yang ke-42 ialah Kailan Haji Hassan, iaitu datuk kepada bekas perdana menteri.
“PAS merupakan pertubuhan yang tertua di negara ini yang terus meneruskan bagi mempertahankan Islam secara istiqamah.
“Sekarang PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan sama ada kita suka atau tidak. Itulah realiti yang berlaku sekarang.
“Kita juga sekarang mempunyai 18 ahli parlimen, lebih 90 Adun, lapan senator. Dan lebih membanggakan lagi memiliki tiga menteri dan lima timbalan menteri,” katanya pada acara kemuncak sambutan ulangtahun ke-70 PAS di Tamadun Islam hari ini.
Menurutnya juga PAS mencatat sejarah mempunyai tiga menteri besar.
Hadir sama Timbalan Presiden Dato Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib-naib Presiden Senator Idris Ahmad, Dato Mohd Amar Abdullah dan pimpinan PAS dari seluruh negara.

Sebelum itu diadakan perarakan motosikal ahli Alternative Riding Club mengiringi ketibaan timbalan presiden PAS. Dewan konvensyen tempat berlangsung sambutan dipenuhi ahli-ahli PAS termasuk Dewan Himpunam Pendukung PAS (DHPP). – HARAKAHDAILY 12/12/2021











