Ulamak dan pengamalan di pondok

- Advertisement -

MENJADI kebiasaan pondok sering dikunjungi oleh para ulamak dan orang-orang soleh, kami juga sering mengadakan daurah, menjemput para ulamak dan asatizah untuk mencurahkan ilmu dan menamatkan kitab, terutama di musim cuti bulan Ramadhan.

- Advertisement -

Kami budak-budak pondok ini memang teruja sangat bila ada program daurah sebab dapat bertemu dengan para ulamak sama ada yang dah terkenal atau yang belum, menatap wajah dan berdamping dengan para ulamak adalah satu kegembiraan bagi kami.

Ada seorang rakan saya jenis suka sangat minta amalan-amalan zikir dan wirid dengan ulamak dan sesiapa sahaja yang dia rasakan ada beramal dengan zikir-zikir tertentu, sentiasa dia bawa buku dan pen, pernah ketika bersama saya dalam bas, kami duduk di hadapan, dia sanggup pergi mencelah ke belakang kerana dia terlihat satu sosok yang kelihatan soleh semata-mata nak bertanya apa zikir yang menjadi amalannya. 

Saya pernah tengok buku dia, memang penuh dengan pelbagai ayat, zikir, wirid, sampaikan ada jumpa doa nak berjalan atas air. Saya tak sempat membacanya sampai habis, banyak sangat. Pernah saya tanya dia ‘engkau dah beramal habis ke apa yang engkau tulis ini?’, dia ketawa sambil geleng kepala. Saya bergurau dengannya ‘tak lama lagi kalau ilmu kau itu menjadi, untung la, tak payah naik bot dah kalau nak melancong, boleh jalan atas air jer’, kami sama-sama gelak.

Masih ingat dalam satu daurah dia meminta dengan seorang guru kami yang berwajah redup dan tenang, melihat wajahnya sahaja pun sangat memberikan ketenangan, sahabat saya meminta supaya guru kami menuliskan di papan hitam zikir dan wirid untuk diamalkan supaya hati dan jiwa sentiasa tenang.

Dia memandang kami dengan senyuman, kata dia, ‘pernah tengok daun keladi?, kami angguk, ‘daun keladi ini, kamu curahlah air banyak mana pun, air takkan lekat, begitulah hati kita, kita curahlah zikir banyak mana pun susah nak tenang, sebab Nabi S.A.W dah bagi tahu ke kita’, lalu dia bacakan Hadis ini:

حَدَّثَنَا هِشَامُ بْنُ عَمَّارٍ حَدَّثَنَا حَاتِمُ بْنُ إِسْمَعِيلَ وَالْوَلِيدُ بْنُ مُسْلِمٍ قَالَا حَدَّثَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَجْلَانَ عَنْ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ كَانَتْ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ فِي قَلْبِهِ فَإِنْ تَابَ وَنَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ صُقِلَ قَلْبُهُ فَإِنْ زَادَ زَادَتْ فَذَلِكَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَهُ اللَّهُ فِي كِتَابِهِ { كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ }

“Telah menceritakan kepada kami [Hisyam bin ‘Ammar] telah menceritakan kepada kami [Hatim bin Isma’il] dan [Walid bin Muslim] keduanya berkata; telah menceritakan kepada kami [Muhammad bin ‘Ajlan] dari [Al Qa’qa’ bin Hakim] dari [Abu Shalih] dari [Abu Hurairah] bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya apabila seorang mukmin berbuat dosa, maka akan ada titik hitam di dalam hatinya, jika ia bertaubat, meninggalkannya serta meminta ampun maka hatinya akan kembali putih, namun jika ia menambah (dosanya) maka akan bertambah (titik hitam), maka itulah penutup (hati) yang disebutkan dalam firman Allah dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak (demikian), Sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.””

(QS Al Muthafifin; 14)

Lalu dia sambung lagi ‘zikir-zikir dah banyak sangat dah dalam al-Quran dan Hadis, kalau nak beramal tak perlu minta dengan saya, hok yang sedia ada dalam al-Quran dan Hadis banyak dah, selawat boleh, istighfar boleh, tasbih, tahmid, tahlil dan takbir, semua ini amalan molek belaka, padan beramal dengan hok ini jer’, katanya sambil senyum.

‘Yang paling penting ialah kita kena ambil ibrah macam daun keladi itu, kita curah zikir banyak mana pun susah nak tenang, sebab hati kita penuh dengan titik hitam kesan dari berbuat dosa. Yang paling penting kalau kita nak tenang ialah kena mujahadah tinggalkan dosa, sebab dosalah hati jadi hitam, orang buat dosa ini hati dia akan serabut sokmo, bila kita tinggal dosa dan kita gantikan dengan kebaikan, bila hati yang hitam itu bertukar dengan cahaya putih, masa itu jiwa kita tenang setenangnya’

Sebelum berakhir dia memandang kami dengan senyuman ‘orang suka buat dosa ni selamanya tidak tenang, masa atas dunia jiwa dia sentiasa serabut dan kat akhirat pula’… dia terhenti di situ, dia tunduk, lalu jarinya mengesat kelopak matanya, lalu dia mendongak dan memandang kami ‘jaga diri elok-elok deh’… kami juga terdiam, suasana bertukar hening.

USTAZ ROSLI ABD JABAR
Pesuruhjaya PAS Pahang – HARAKAHDAILY 10/12/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100003457375722/posts/3663035557154987/

- Advertisement -