New Delhi diselubungi asap tebal, sekolah tutup

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

NEW DELHI: Semua sekolah di ibu kota India dengan populasi 20 juta penduduk ini ditutup  sehingga notis dibenarkan beroperasi semula diumumkan kerajaan tempatan, dan orang ramai digalakkan bekerja dari rumah ekoran pencemaran asap tebal di udara berada pada tahap berbahaya.

Pada Sabtu lalu, kerajaan Delhi mengarahkan semua sekolah ditutup selama seminggu dan melarang kerja pembinaan dijalankan selama empat hari.  

- Advertisement -

Namun pada Selasa, Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara Delhi berkata, semua institusi pendidikan harus ditutup sehingga diberitahu kelak.

Lima loji janakuasa arang batu di sekitar New Delhi juga telah ditutup buat sementara waktu, menurut perintah daripada panel mengenai pencemaran udara, yang terletak di bawah Kementerian Alam Sekitar, Hutan dan Perubahan Iklim Persekutuan, lapor Al Jazeera.

Lori kecuali yang membawa barangan keperluan harian dilarang memasuki bandar raya  sehingga 21 Nov ini dan kebanyakan aktiviti pembinaan di Delhi dan bandar-bandar  jirannya dihentikan, kata perintah panel pencemaran udara berkenaan.

Sementara ‘senapang anti-asap’ dan penyiram air diarahkan beroperasi di kawasan panas  dalam bandar raya sekurang-kurangnya tiga kali sehari.

Suruhanjaya itu juga berkata, sekurang-kurangnya 50 peratus kakitangan kerajaan harus bekerja dari rumah sehingga 21 Nov ini dan menggalakkan mereka yang berada di firma swasta untuk mengikuti saranan tersebut.

Perintah itu dibuat beberapa hari selepas kerajaan Delhi menolak gesaan oleh Mahkamah Agung India untuk mengisytiharkan ‘perintah berkurung akibat pencemaran’  terhadap penduduk bandar raya itu.

New Delhi dengan populasi 20 juta penduduk kini diselubungi asap tebal yang sangat berbahaya untuk kesihatan manusia.

Mahkamah berkenaan juga mengecam kerajaan persekutuan dan tempatan atas kegagalan mereka untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar di India khususnya di New Delhi yang merupakan kota raya  yang paling tercemar di dunia.

Salah satu penyumbang utama kepada pencemaran udara di bandar raya itu ialah asap daripada petani yang membakar sisa tanaman mereka di negeri jiran, selain loji janakuasa arang batu di luar bandar, asap daripada kenderaan, aktiviti pembinaan dan pembakaran sampah secara terbuka.

Kerajaan Delhi bagaimanapun memberitahu Mahkamah Agung bahawa industri adalah penyumbang terbesar diikuti oleh pencemaran kenderaan dan habuk.

Terdahulu, hasil tinjauan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) terhadap 1,650 bandar raya di seluruh dunia telah menobatkan bandar raya  ini sebagai yang paling teruk dari segi pencemaran udara. India juga mencatat kira-kira 2 juta kematian pada setiap tahun akibat pencemaran udara. 

Negara ini juga mencatat rekod kematian  tertinggi di dunia akibat penyakit pernafasan kronik dan asma, menurut WHO. Di New Delhi sahaja, pencemaran udara telah menyebabkan 2.2 juta atau 50 peratus golongan kanak-kanak mengalami kerosakan paru-paru. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -