
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Selepas seminggu kejadian kebakaran di Jalan Sultanah Zainab yang memusnahkan sembilan rumah, pagi semalam dikejutkan lagi dengan musibah yang sama.
Kali ini melibatkan tujuh rumah di depan Istana Kota Lama di Jalan Sultanah Zainab. Pada kejadian itu lebih 80 peratus rumah hangus dalam satu kebakaran yang berlaku jam 2.56 pagi.
Pagi tadi mangsa kebakaran terbabit menerima RM500 setiap keluarga yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita, Dato’ Mumtaz Md Nawi.
Beliau melawat tempat kejadian sebelum menghadiri mesyuarat Exco di Kota Darulnaim.
Mumtaz bagaimanapun bersyukur memandangkan tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.
“Kita turut berduka atas musibah ini dan Insya-Allah kerajaan akan membantu mangsa yang terlibat. Semoga keluarga yang terbabit diberi ketabahan dan digantikan dengan kediaman lebih baik,” ujarnya.
Beliau turut merakam ucapan terima kasih pada pasukan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Khidmat Dun Kota Lama. – HARAKAHDAILY 17/11/2021











