
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Lebih 1,000 pelajar Universiti Malaysia Kelantan kampus Pengkalan Chepa terpaksa mengharungi banjir kilat ekoran hujan lebat sejak malam semalam.
Bagaimanapun cuaca hari ini agak cerah sedikit dengan hujan sekali sekala lebat.
Banjir sedalam antara 0.3 hingga 0.5 meter itu terpaksa ditempuhi pelajar dalam perjalanan ke asrama, perpustakaan serta kelas.
Tinjauan Harakahdaily petang semalam mendapati ada kalangan pelajar terkejut dengan kejadian tersebut yang berlaku berikutan kehadiran Monsun Timur Laut.
Seorang pelajar Idham Hassan berkata, beiau tidak menyangka kampus UMK di Pengkalan Chepa boleh dilimpahi air banjir walaupun lokasi terbabit dilihat mempunyai sistem saliran dan perparitan agak baik.
Menurutnya hujan yang bermula malam semalam begitu lebat sehingga ada kawasan rendah ditenggelami air.
“Semalam air melimpah sehingga ada tempat mencecah paras buku lali. Banjir sekadar limpahan air hujan, tetapi kita kena berhati-hati dan berwaspada,” kata beliau.
Ibu bapa pelajar yang ditemui ketika menghantar anak turut menyuarakan kebimbangan mengenai kejadian banjir kilat tersebut.
Seorang ibu pelajar, Noraishah Ishak menghantar anaknya yang belajar di tahun pertama di UMK berharap pihak pentadbiran memaklumkan mengenai langkah-langkah keselamatan ketika musim tengkujuh.
“Saya harap UMK beri maklumat dan ibu bapa mengenai langkah menjaga keselamatan,” katanya.
Berdasar tinjauan didapati ada longkang dan parit tersumbat sehingga menyebabkan aliran air melimpah.
Sementara itu Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Che Azmi Che Ali berharap pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan segera untuk menyelenggara sistem perparitan.
Beliau berkata, kemudahan terbabit perlu diselenggara setiap masa khususnya di kawasan bandar bagi memastikan masalah banjir kilat dapat diatasi. – HARAKAHDAILY 11/11/2021




















