Anak muda jemu politik lompat parti

- Advertisement -

MELAKA: Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen berpandangan anak muda hari ini sudah jemu dengan mainan politik lompat parti dan double standard.

Justeru itu, katanya Perikatan Nasional dilihat mempunyai peluang dalam pertembungan antara tiga gagasan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Anak muda sekarang memang jemu dengan politik, sebab macam-macam boleh berlaku, ada yang keluar dari parti tertentu, itu (mereka kata) pengkhianat.

- Advertisement -

“Kemudian yang lompat masuk (parti mereka), itu tidak digelar pengkhianat, jadi ini double standard. Rakyat khususnya golongan masyarakat Cina akan merasa jemu terhadap politik sekarang,” katanya kepada Harakahdaily.

Selain itu katanya, rakyat Melaka boleh membuat penilaian sendiri mengenai situasi ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui pentadbiran negara.

Menurutnya, rakyat menerima pelbagai bantuan daripada pakej yang ditawarkan ketika Perikatan Nasional mentadbir.

“Saya yakin ada lebih setengah daripada rakyat Melaka menikmati pakej yang ditawarkan oleh ‘abah’ (Muhyiddin) sebelum ini,” katanya.

Berhubung SOP kempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kata Chia Zhen pihaknya sebaik mungkin mematuhi SOP berkenaan kerana mahu mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat Melaka.

Menurutnya, walaupun SOP yang dikeluarkan itu ketat, beliau faham mereka perlu mengutamakan kesihatan rakyat terlebih dahulu.

Pada PRN Melaka kali, lapan calon daripada PAS yang bertanding iaitu Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -