
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Hujan sejak malam tadi ekoran kehadiran musim Monsun Timur Laut sekarang menyebabkan beberapa lokasi sekitar Kota Bharu berlaku banjir kilat.
Tinjauan Harakadaily di Kampung Dusun Jalan Bayam dekat sini mendapati 10 rumah penduduk dinaiki air setinggi 0.3 meter sejak jam 8 pagi tadi.
Penduduk mendakwa banjir kilat berlaku kerana sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna sehingga air mudah bertakung.
Seorang warga emas, Zainab Ibrahim, 83 berkata, banjir melimpah sehingga memasuki kediamannya kerana tiada saliran sempurna.

Beliau yang berkerusi roda bagaimanapun bersyukur kerana dibantu dua anaknya yang kebetulan pulang ke kampung dari ibu kota semalam.
“Air naik mula berlaku kira-kira jam 8 pagi kerana hujan tidak berhenti sejak malam tadi. Makcik terkejut kerana banjir kilat memasuki rumah begitu cepat.
“Sebelum ini banjir kilat menyebabkan perabot dan peti ais rosak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Oleh itu beliau berharap Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan jabatan berkaitan menyelenggara sistem perparitan bagi mengelakkan banjir kilat berulang.
Seorang lagi penduduk Idris Daud juga berharap MPKB-BRI peka masalah banjir kilat yang sering berlaku setiap kali musim tengkujuh kerana tidak mempunyai sistem saliran yang sempurna.
Menurutnya longkang sedia ada sering berlaku limpahan air apabila hujan lebat sehingga memasuki rumah penduduk.
Turut berkongsi kerisauan seorang saudara kita (mualaf), Abdul Rahman Chin Abdullah 70. Beliau memberitahu air bah sering melimpah memasuki rumahnya apabila berlaku hujan lebat.
“Kejadian banjir kilat berlaku berpunca longkang tidak sempurna. Saya hendak tidur malam pun tidak lena takut air naik pada waktu malam,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2021




















