
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KUALA LUMPUR: Kerajaan menggalakkan pengeluaran dan pemasangan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) termasuk kenderaan elektrik (EV) dan hibrid.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antaranya menyediakan insentif dan galakan cukai bagi aktiviti pembuatan komponen kritikal.
“Kerajaan juga membangunkan standard untuk menyokong ekosistem industri EEV dan tenaga mahir dalam bidang telematik serta teknologi maju (advance technology).
“Kerajaan turut menawarkan insentif cukai bagi aktiviti pemasangan atau pengilangan tempatan kenderaan dan komponen EV serta perkhidmatan teknologi hijau,” katanya ketika menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurutnya untuk meningkatkan pelaburan sektor EV, kerajaan menawarkan insentif kepada pengeluar kenderaan, komponen dan pengguna.
Katanya insentif kepada pengguna (demand side) dijangka dapat meningkatkan permintaan ke atas EV serta menggalakkan pelaburan bagi pengeluaran kenderaan dan komponennya.
“Berdasarkan objektif tersebut, kerajaan telah mengumumkan pakej insentif menyeluruh di bawah Belanjawan 2022,” ujarnya.
Antara lain, katanya syarikat layak dipertimbangkan pemberian geran secara padanan terutamanya bagi syarikat yang menjalankan aktiviti yang digalakkan termasuk projek berkaitan EV.
“Menerusi pemberian geran tersebut secara tidak langsung syarikat dapat menjalankan aktiviti pemodenan, menaiktaraf kemudahan, peralatan, penyelidikan dan pembangunan serta latihan tenaga kerja tempatan,” katanya.
Ketika membentangkan Bajet 2022 Oktober lalu Menteri Kewangan Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Azizi berkata, kerajaan mengecualikan cukai jalan sehingga 100 peratus kepada kenderaan elektrik.
Katanya juga kerajaan akan memberi pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV. – HARAKAHDAILY 10/11/2021











