
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, lapan calon Perikatan Nasional daripada PAS yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu membuat kejutan dan menarik pengundi muda.
Menurutnya, kesemua mereka datang daripada pelbagai latar belakang, namun mempunyai ‘satu sasaran’ iaitu membawa kemenangan kepada parti di bawah ‘payung’ PERIKATAN NASIONAL, lapor Bernama.
“Saya optimis mereka boleh bantu PAS untuk capai kemenangan kalau tidak 100 peratus pun, sekurang-kurangnya dapat tarik pengundi muda dan buat kejutan,” kata yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penganugerahan ‘Product Safety Award’ 2021 di Putrajaya, hari ini.
Sabtu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan gabungan itu akan bertanding semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, dengan 15 kerusi diwakili Bersatu, PAS (lapan) dan Gerakan (lima).
Lapan calon daripada PAS yang bertanding ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).
Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.
Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.
Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 9/11/2021




















