
KUALA LUMPUR: Kerajaan wajar membuat cadangan kepada pelabur asing yang datang ke Malaysia agar membuat pelaburan di negeri-negeri yang dikategorikan sebagai miskin.
Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, berkata usaha tersebut bagi memastikan pembangunan di negeri terbabit berlaku serta menjana pendapatan dan ekonomi rakyat secara makro.
Beliau berkata, negeri seperti Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak, wajar diberikan perhatian khusus oleh kerajaan bagi memastikan hasrat itu dapat direalisasikan.
“Langkah ini bagi memastikan pembangunan setiap negeri di Malaysia ini secara adil dan menyeluruh, iaitu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri lain.
“Oleh itu, kerajaan perlu mencadangkan kepada pelabur asing ke negeri-negeri yang dikategorikan sebagai miskin bagi menjana pendapatan rakyat, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Bajet 2022 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 29 Oktober lalu.
Che Alias turut menyifatkan pembentangan Bajet 2022 dengan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion memperlihatkan keprihatinan kerajaan membangunkan semula negara.
Beliau berkata, langkah kerajaan menjamin pembangunan ekonomi yang adil dan saksama serta inklusif serta tidak membelakangkan sektor yang bergelut dengan Covid-19.
“Saya juga menyambut baik pengumuman kerajaan terhadap peruntukan sebanyak RM20 juta bagi setiap negeri untuk jaminan bekalan makanan, pelancongan dan pemulihan alam sekitar.
“Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion mencerminkan kecaknaan bagi keseimbangan pembangunan antara wilayah di Malaysia.
“Namun saya ingin membangkitkan persoalan mengenai peruntukan pembangunan tambahan untuk negeri yang diklasifikasikan negeri miskin termasuk dua negeri di Pantai Timur,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/11/21




















