
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Aspek pembentukan sahsiah di kalangan belia sebagai antara komponen asas dalam pembangunan negara menyebabkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merancang empat program pembentukan akhlak dan sahsiah sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Timbalan Menterinya, Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, berkata RMK12 merupakan satu transformasi serta menetapkan asas yang akan memperkukuh landasan pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Memahami kepentingan itu, katanya pelbagai inisiatif berterusan dilaksanakan KBS untuk memantapkan jati diri dan pembinaan karakter serta membangun potensi diri dalam kalangan belia pada masa kini dan hadapan.
“Bagi memastikan golongan belia mempunyai keperibadian unggul selaras dengan penekanan dalam RMK12, antara program yang dirancang untuk dilaksanakan ialah Belia Mencegah Ekstremisme.
“Program ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan belia berkaitan isu ekstremisme dan terrorisme serta menjadikan belia sebagai benteng utama masyarakat terhadap penyebaran idea dan fahaman yang berunsurkan keganasan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok) berhubung sejauh mana penekanan kerajaan terhadap aspek pembentukan akhlak anak muda diberi penekanan dalam RMK12.
Lian Ker berkata, program kedua KBS ialah Fit Masjid, program riadah program riadah dan aktiviti santai yang berpandukan syariah dengan matlamat utamanya untuk mendekatkan golongan belia dengan institusi masjid.
Menurutnya, penganjuran program ini berupaya mengurangkan persepsi bahawa masjid adalah hanya tempat ibadat, sekali gus akan memperluaskan kembali fungsi masjid sebagai pusat pelbagai aktiviti masyarakat seperti zaman Nabi Muhammad SAW.
Program ketiga, katanya ialah EXXO Camp@Rakan Muda, program ‘Explore, Experience, Extreme, & Organize Camp’ yang berkonsepkan `Summer Camp’ selama lima hari empat malam.
“Program ini untuk memberi peluang kepada belia berisiko berumur 15 hingga 17 tahun meneroka melalui aktiviti luaran dan menimba pengalaman dalam aktiviti mencabar serta menekankan elemen kemahiran sosial, pengurusan diri dan pengukuhan kendiri,” katanya.
Beliau berkata, program keempat ialah Kem Anak Muda (KAMU), program inisiatif bagi membendung gejala sosial di kalangan anak muda, terutama belia berisiko.
Katanya, ini juga pendedahan awal kepada mereka mengenai peluang kemahiran dan keusahawanan, termasuk Projek Riben Kuning, Program Citra Ibadah, Subjek Bina Insan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dan Malaysia Future Leaders School (MFLS).
“Program ini menekankan lima elemen, iaitu kepimpinan, pembentukan watak dan jati diri, kenegaraan, kesukarelawanan dan keusahawanan, serta penekanan kepada nilai-nilai murni, termasuk pengetahuan agama dan pembentukan bakat kepimpinan generasi muda,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/21




















