
KUALA TERENGGANU: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim mengakui cabaran mengekalkan kedudukan dalam posisi sekarang bukan sesuatu yang mudah.
Katanya, perwakilan Muktamar Tahunan PAS cukup matang serta tahu menilai untuk memilih dan memberikan amanah berat kepada saf pimpinan.
Katanya, dalam PAS pemimpin, ahli dan penyokong diajar beristighfar apabila diberikan amanah namun tidak dipilih pada muktamar.
“Ini kerana pemilihan dalam PAS atas dasar menawarkan diri berkhidmat kepada sebuah gerakan Islam.
“Tiada kempen, tiada jamuan meraikan perwakilan, tiada poster, tiada majlis sosial, tiada politik wang, tiada lobi melobi malah tiada walau satu pun posting fb ditulis berkaitan hal pemilihan parti,” katanya ketika berkongsi pandangan di media sosialnya, semalam.
Menurutnya juga bermula di muktamar di Kedah pada 2017, muktamar di Pahang 2019 dan muktamar di Terengganu 2021 beliau sekali lagi dipilih memikul amanah berat menganggotai Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
“Jawatan dalam PAS adalah taklif dan bukannya tasyrif. Taklif ialah tanggungjawab manakala tasyrif ialah kemuliaan,” ujarnya.
Dr Azman yang juga anggota Exco kerajaan Terengganu berkata, muktamar PAS kali ini juga boleh diistilahkan sebagai panas dalam senyap.
Ini kerana katanya, nama-nama besar dalam AJK PAS Pusat sebelum ini tidak lagi terpilih pada muktamar kali ini.
“Situasi itu juga dapat diirasai pada mesyuarat agung peringkat kawasan sebelum ini, tidak semestinya mempunyai kedudukan dalam kerajaan boleh mengekalkan kedudukan dalam di peringkat kawasan.
“Jawatan saya sebelum ini sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, namun gagal mempertahan jawatan itu selepas dicabar pimpinan lain,” katanya ketika ditemui selepas makan bersama sekumpulan wartawan di sini, semalam. – HARAKAHDAILY 8/11/2021











