
Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA NERUS: PAS Sabah berharap agar kualiti pengurusan mahkamah syariah dapat dipertingkatkan seiring dengan slogan Islam Memimpin Wanita Sejahtera.
Perwakilan PAS Sabah, Sofia Salin berkata, slogan yang dibawa Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) itu merupakan satu slogan yang amat baik untuk wanita.
Namun katanya, slogan itu tidak mungkin dicapai slogan itu jika masalah rumah tangga dalam kalangan umat Islam semakin kritikal.
“Terutamanya melibatkan kebajikan hak wanita serta anak-anak yang tidak terbela, ini disebabkan kes-kes yang difailkan ke mahkamah telah tertangguh sekian lama dan ditambah pula dengan kes baharu serta situasi pandemik yang melanda negara kita sekarang.
“PAS Sabah menyeru agar mempertingkatkan kualiti pengurusan mahkamah syariah, sama ada mahkamah tinggi, mahkamah rayuan dan mahkamah rendah bagi menangani kes-kes yang telah didaftarkan,” katanya dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.
Sofia mencadangkan ia dilakukan dengan penambahan kakitangan yang berkualiti serta penambahan hakim-hakim di setiap mahkamah syariah di seluruh negeri dan daerah bagi menyelesaikan kes yang telah tertangguh dengan segera.
Selain itu, katanya lagi, pihak kerajaan dan bukan kerajaan perlu bekerjasama memperbanyakkan program kesedaran pengukuhan institusi kekeluargaan.
Menurutnya hal berkenaan adalah kerana Sabah merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan kes perceraian termasuk pasangan di bawah umur, sama ada dalam kalangan orang Islam mahupun bukan Islam. – HARAKAHDAILY 6/11/2021




















