
Oleh IBNU JANIE
Sama sepertimana PAS yang lama menjadi pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang di dalamnya ada PKR, PAN dan DAP juga pernah memperjuangkan isu salah guna jentera kerajaan dalam pilihan raya pada masa pemerintahan ‘order lama’.
Penggunaan jentera kerajaan sewaktu berkempen untuk pilihan raya adalah sesuatu yang tidak adil pada pembangkang. Walaupun sesuatu parti sudah menjadi kerajaan namun apabila mereka masuk bertanding dalam pilihan raya, mereka harus memasukinya sebagai parti politik yang setara. Bukan sebagai kerajaan.
Sebagai contoh, bayangkan sebuah parti politik yang menjadi kerajaan boleh membuat program dengan membantu anak-anak pengundi dengan memberi basikal kepada beribu-ribu orang pelajar menggunakan peruntukan kementerian.
Nilainya mungkin jadi ratusan ribu ringgit. Sedangkan bukan parti politik itu yang keluarkan duit. Pembangkang tidak mungkin mampu berbelanja sebesar itu. Namun, parti pemerintah yang menumpang program kerajaan dalam pilihan raya seperti ini mendapat ‘mileage’ walau pun mereka sebenarnya sekadar menyampaikan sahaja.
Apabila PH yang sekian lama menjadi pembangkang tiba-tiba berjaya menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, penulis sangka bahawa segala amalan penggunaan jentera kerajaan oleh parti kerajaan dalam pilihan raya ini akan terkubur.
Namun, penulis terkejut besar apabila melihat PH umpama terkena kejutan budaya dan meneruskan tradisi lama ini malah dengan kadar yang sangat teruk.
Yang menariknya, ini bukan sekadar tuduhan yang dibuat oleh parti musuh kepada PH, namun ia disahkan sendiri di dalam laporan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Bersih 2.0 bagi setiap pilihan raya kecil (PRK) yang diadakan selepas PRU14.
Kita mungkin lebih percaya jika sesuatu badan yang melaporkan itu bersifat bebas. Jadi laporannya tidak bias. Namun yang menariknya Bersih 2.0 adalah sebuah NGO yang pro-PH sejak sekian lama.
Apabila NGO yang pro-PH sanggup melaporkan penyalahgunaan kuasa PH sendiri maka itu bermakna satu situasi yang sangat teruk dan memualkan mereka.
Pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos 2018, Bersih 2.0 mengesan lima kes salah guna jentera kerajaan oleh PH yang ketika itu menguasai Kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor.
Antaranya, calon PKR, Zawawi Mughni berkempen di Kejohanan Seni Bela Diri Taekwando Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) peringkat negeri Selangor anjuran KPM dan Pendidikan Selangor pada 28 Julai 2018.
Begitu juga pada PRK Balakong dan Seri Setia pada 8 September 2018. Bersih 2.0 melaporkan dua kes salah guna aset kerajaan untuk berkempen melibatkan kehadiran menteri menggunakan kenderaan rasmi.
Lebih menarik lagi pada PRK Parlimen Port Dickson yang berlangsung pada 13 Oktober 2018, Bersih 2.0 mengesan enam kesalahan yang dilakukan oleh calon PH iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim melibatkan salah guna aset kerajaan berdasarkan laporan media berkaitan program-program yang disertainya.
Antaranya pada 30 September 2018, Anwar sebagai calon PRK pada waktu itu telah menghadiri dan berucap di program agihan zakat sempena Maal Hijrah di Masjid Jamek Pasir Panjang.
Kemudian pada 3 Oktober 2018, Anwar telah menghadiri majlis penganugerahan pingat kepada pesara tentera di dalam kem tentera Port Dickson berdasarkan laporan Malaysiakini.
Dalam program yang sama, Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu juga dilihat berkempen untuk Anwar dengan berkata bahawa kebajikan pesara tentera akan ditingkatkan sekiranya wakil rakyat Port Dickson adalah seorang bakal perdana menteri.
Pada PRK Parlimen Cameron Highland pada 20 Januari 2019 pula Bersih 2.0 melaporkan bahawa PH terlibat dengan penyalahgunaan aset kerajaan untuk kempen apabila sebuah kenderaan pacuan 4 roda milik Jabatan Perhutanan Pahang didapati digunakan untuk tujuan berkempen.
Sementara, dalam PRK Dun Semenyih pula Bersih 2.0 mengesan sebanyak 13 kesalahan dilakukan oleh PH sepanjang PRK ini di mana enam daripadanya melibatkan salah guna jentera dan peruntukan kerajaan.
Begitu juga dengan PRK-PRK lain semasa PH masih menjadi kerajaan Persekutuan. Dan laporan-laporan oleh Bersih-2.0 ini masih boleh diakses sehingga sekarang di Google. Semua orang boleh membacanya.
Sebenarnya PH sepatutnya menunjukkan perbezaan apabila mereka sudah berjaya menjadi kerajaan, berbanding kerajaan order lama yang mereka sendiri kritik selama ini. Namun mereka melakukan segala perkara yang mereka pernah cerca dahulu.
PH nampaknya lemah dan tunduk pada peluang terhidang di depan mata mereka untuk menggunakan jentera kerajaan untuk faedah mereka yang telah menjadi kerajaan ketika itu. Kata dulang paku serpih, mengata orang PH yang lebih. – HARAKAHDAILY 5/11/2021




















