
Oleh SALMAH MAT HUSAIN
KOTA BHARU: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar belakang sebuah kereta yang dipandu dipercayai seorang pengedar dadah selepas cuba merempuh anggota polis ketika berusaha untuk meloloskan diri.
Kejadian itu berlaku di Pasar Wakaf Bharu, Tumpat dekat sini kira-kira jam 5.50 petang semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, kejadian itu berlaku ketika anggota polis mengekori sebuah kereta jenis Proton Wira dari arah Tumpat menghala ke Wakaf Bharu yang dipandu suspek.
Katanya, selepas menyedari diekori polis, suspek bertindak memandu kereta dalam keadaan merbahaya.
“Polis mengarah suspek menghentikan kereta tersebut semasa tiba di tepi jalan berhampiran Pasar Wakaf Bharu.
“Sebaliknya suspek berkenaan enggan memberi kerjasama sehingga bertindak mengundurkan keretanya untuk melanggar anggota polis.
“Tindakan itu menyebabkan polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang sebelah kanan kereta tersebut,” katanya pada satu kenyataan di sini hari ini.
Muhamad Zaki juga berkata, hasil pemeriksaan lanjut terhadap suspek dan kereta menjumpai sebanyak 943 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM9,430.
Menurutnya ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Tambah beliau kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana melakukan percubaan membunuh dan Seksyen 279 kanun sama kerana memandu secara merbahaya.
Terdahulu, tular video di media sosial WhatsApp mengenai kejadian sebuah kereta ditembak di tayar anggota polis berhampiran Pasar Wakaf Bharu.
Video tersebut dirakam oleh orang awam yang berada berhampiran lokasi kejadian selepas terkejut mendengar bunyi tembakan. – HARAKAHDAILY 5/11/2021











