
KOTA BHARU: Bekalan sayuran di Kelantan dijangka tidak terjejas dalam tempoh musim tengkujuh berikutan terdapat petani mengusahakan sayuran secara fertigasi dan hidroponik selain penanaman kaedah konvensional.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata jaminan itu diberikan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Kita tidak bimbang (bekalan terjejas) kerana persiapan sudah dibuat seperti bekalan sayuran yang diusahakan menerusi kaedah fertigasi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program My Best Buy (MBB) anjuran FAMA di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah FAMA Kelantan Wan Nora Wan Ahmad.
Sementara itu, Wan Nora berkata pihaknya menyasarkan 4,000 hingga 6,000 pengunjung sehari menerusi pelancaran semula program MBB itu yang bermula semalam hingga Ahad ini.
“Selain penduduk tempatan, program ini turut memberi fokus kepada anak Kelantan di perantauan yang pulang ke kampung untuk datang membeli-belah produk dijual peserta yang terdiri daripada pengeluar produk industri asas tani tempatan,” katanya. – BERNAMA











