
Oleh IBNU JANIE
BARU-BARU ini penulis ada menulis satu rencana yang disiarkan di Harakah tentang wujudnya kumpulan dalam kalangan rakyat yang tidak mahu keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini kerana bimbang dengan Covid-19.
Dalam rencana itu penulis menjelaskan bahawa, pada mata rakyat, mereka melihat walaupun wujud prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19, namun mereka bimbang jika ahli-ahli politik sewenang-wenang mencabulnya demi untuk berkempen dengan lebih berkesan.
Baru-baru ini juga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan SOP PRN yang sangat ketat sehingga menimbulkan bantahan daripada kebanyakan parti politik yang bakal bertanding pada PRN kali ini.
Pada pandangan penulis, Apa yang sangat penting sekarang ini ialah bagaimana untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka selamat untuk keluar mengundi pada 20 November ini kelak.
Jangan mengentengkan kemungkinan boikot daripada rakyat ini. Sekarang ini pun seolah-olah sudah ada satu kempen dalam kalangan anak-anak yang tidak mahu membenarkan ibu bapa mereka terutama yang sudah masuk kategori warga emas daripada keluar mengundi.
Ramai dalam kalangan anak-anak yang bimbang dengan keselamatan ibu bapa mereka yang sudah tua mungkin berisiko apabila berada di pusat pembuangan undi nanti.
Tulisan ini bukan pula berniat untuk menyokong tindakan sesetengah pengundi yang tidak mahu keluar mengundi. Sebagai aktivis salah sebuah parti politik yang bakal bertanding dalam PRN ini sudah tentu penulis mahu pengundi, terutama pengundi PAS agar keluar mengundi.
Tujuan penulis menulis rencana ini adalah agar semua parti politik menjaga kelakuan mereka dan jangan melakukan perkara-perkara yang tambah mengurangkan keyakinan rakyat untuk keluar mengundi.
Jika rakyat memboikot pilihan raya ini, ia akan memberi kesan kepada parti-parti politik itu sendiri. Mungkin ada parti yang sepatutnya menang, akan kalah kerana pengundi mereka tidak keluar mengundi.
Jika pada ketika ini ada parti-parti politik yang sengaja melanggar SOP dan kemudian membayar denda, ia akan menyebabkan rakyat melihat bahawa PRN yang bakal berlaku ini akan dipenuhi dengan pesta pelanggaran SOP.
Denda yang dikenakan memang tinggi. Namun bagi sesetengah parti politik nilai itu hanya dicelah gigi. Mereka boleh bayar.
Yang menjadi masalah ialah perkara ini akan tambah menakutkan rakyat bahawa SOP akan dilanggar sewenang-wenangnya oleh parti-parti politik dalam berkempen nanti. Pada parti-parti politik ini pula, kalau kena denda bayar sahajalah, bajet ada.
Penulis teringat kembali nostalgia mengenai ketua jabatan penulis semasa penulis bekerja di sebuah kolej dahulu. Ketua penulis ini seorang wanita tetapi mempunyai sikap suka memandu laju. Dan beliau sudah banyak kali disaman.
Apabila penulis bertanya kepada beliau, tidak rasa rugikah membayar saman? Beliau menjawab bahawa beliau memang ada memperuntukkan sejumlah wang setiap bulan untuk membayar saman. Maknanya beliau telah memilih membayar saman asalkan beliau dapat segera sampai ke destinasi.
Jadi, adakah parti-parti politik yang mempunyai dana yang banyak ini akan bersedia membayar denda asalkan mereka boleh berkempen dengan berkesan seperti yang mereka mahu tanpa mengendahkan SOP?
Dan lebih menakutkan lagi, perkara seperti ini berlaku ketika kita berada dalam keadaan SOP ketat yang telah ditetapkan oleh KKM. Dan sekarang ini parti-parti politik pula sedang memohon agar SOP ini dilonggarkan.
Rakyat tertanya-tanya, semua ini berlaku ketika SOP masih ketat berdasarkan apa yang dikeluarkan oleh KKM. Rakyat tertanya-tanya, bagaimana selepas SOP dilonggarkan? Adakah keadaan akan jadi lebih buruk? Dan rakyat akan jadi makin bertambah takut untuk keluar mengundi.
Seperti yang penulis nyatakan dalam rencana sebelum ini, tempoh bermula sekarang sehingga hari terakhir kempen akan jadi petunjuk kepada rakyat samada mereka akan keluar mengundi atau tidak. Ahli-ahli politik tolonglah jaga tingkah laku agar tidak diboikot rakyat. – HARAKAHDAILY 2/11/2021




















