RM500 ‘one-off’ untuk petugas agama tingkatkan komitmen

Photo by afiq fatah on Unsplash
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian khas sekali bayar RM500 kepada 70,000 petugas agama diharap dapat mempertingkatkan komitmen golongan berkenaan dalam menjalankan tugas.

Pengerusi Masjid Tun Abdul Ghafar Baba, Sungai Udang, di Melaka, Bakri Jamaluddin, berkata beliau menyambut baik cadangan itu untuk mengurangkan beban penerima, iaitu imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa).

- Advertisement -

Menurut Bakri, Walaupun nilainya mungkin dianggap kecil bagi segelintir pihak, namun jika ia dibandingkan dengan kenaikan kos sara hidup dan inflasi, setidak-tidaknya pemberian khas itu dapat mengurangkan bebanan kos sara hidup mereka.

“Pemberian ini juga amat bermakna sebagai menghargai jasa mereka ini yang dianggap sebagai barisan hadapan dalam mendidik dan menanamkan nilai-nilai murni dikalangan masyarakat.

“Diharapkan agar sumbangan ini dapat mempertingkatkan komitment para imam dan pegawai syarak dalam melayani masyarakat setempat dan ahli kariah,” ” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, semalam.

Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 mengumumkan 70 ribu orang imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kafa akan menikmati pemberian khas sekali bayar sebanyak RM500 pada tahun hadapan.

Menurut Zafrul, pemberian itu merupakan sebahagian daripada aspek pengimarahan syiar Islam dalam Bajet 2022, yang melibatkan peruntukan RM1.5 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri. – HARAKAHDAILY 2/11/2021

- Advertisement -