
Oleh ASLANI M
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak, meluahkan rasa terkilan apabila rayuan terhadap semakan kes Pulau Batu Puteh, ditarik balik Perdana Menteri selepasnya.
Sedangkan katanya, ada statut yang dibenarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membolehkan rayuan dibuat apabila ada penemuan bukti baharu.
“Mesyuarat kabinet yang saya pengerusikan sebelum ini, bersetuju untuk mengemukakan rayuan selepas ditemui sekurang-kurang tiga bukti baru berkaitan kes tersebut.
“Apa salahnya kita buat rayuan selepas menemui bukti baharu berkaitan kes tersebut.
“Persoalannya mengapa rayuan itu ditarik pada saat-saat akhir sehingga turut mengejutkan kerajaan Singapura,” katanya ketika sesi perbahasan Bajet 2022 pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum itu Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, membangkitkan isu tersebut ketika Ahli Parlimen Pekan membahas Bajet 2022.
Pada 7 Oktober lepas, Jemaah Menteri bersetuju pasukan petugas khas diwujudkan bagi membuat kajian dan mencadangkan opsyen yang bersesuaian bagi mendapat pandangan pakar antarabangsa berkaitan isu Pulau Batu Puteh.
Langkah tersebut bertujuan menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan Pulau Batu Puteh.
Sebelum ini, Malaysia memfailkan permohonan semakan pada 2 Februari 2017 dan 30 Jun 2017, memohon supaya ICJ mentafsirkan penghakimannya berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.
Bagaimanapun kerajaan Pakatan Harapan (PH) menulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menarik balik permohonan itu pada 28 Mei 2018. – HARAKAHDAILY 1/11/21




















