P’raya: PAS Melaka bersedia sejak Tun M letak jawatan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MASJID TANAH: PAS Melaka sedia untuk berdepan sebarang pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sejak Febuari tahun lalu.

Pengarah Pilihan Raya PAS Melaka, Bahiki Ismail, berkata PAS negeri menggerakkan jenteranya membuat persiapan itu sejak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakkan jawatannya sebelum ini lagi.

- Advertisement -

“Kita sudah buat persiapan untuk pilihan raya sejak timbul ura-ura Parlimen hendak dibubarkan ketika pertukaran jawatan Tun Dr Mahathir kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini kerana kita menjangkakan selepas peletakkan jawatan Tun Dr Mahathir, akan berlaku pembubaran Parlimen,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Markas Kawasan Masjid Tanah, di sini, pada Sabtu.

Justeru itu kata Baihaki, PAS Melaka sememangnya telah bersiap sedia menggerakkan jenteranya untuk PRN kali ini sejak sebelum Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Melaka dibubarkan.

Keputusan membubarkan Dun Melaka dibuat selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kerajaan mengesahkan hilang kepercayaan dan menark sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat Adun tersebut ialah, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dalam perkembangan sama, semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan parti itu akan melaksanakan 70 peratus kempen melalui media sosial bagi menghadapi PRN Melaka.

Katanya, langkah itu diambil bagi menghadapi kemungkinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Majlis Keselamatan Negara mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi PRN Melaka yang tidak membenarkan kempen konvensional seperti ziarah rumah ke rumah dilakukan bagi mengekang penularan Covid-19. – HARAKAHDAILY 1/11/2021

- Advertisement -