
Oleh: SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Kerajaan negeri akan menyegerakan kerja baik pulih infrastruktur yang rosak akibat banjir di beberapa daerah di negeri itu, selepas taksiran jumlah kerosakan dikenal pasti sepenuhnya nanti.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pejabat daerah Baling, Padang Terap serta Pokok Sena, kini sedang membuat taksiran kerosakan dan daripada maklumat diperoleh mendapati infrastruktur yang paling banyak terjejas adalah di Baling.
“Kita akan segerakan proses baik pulih infrastruktor yang di bawah kerajaan negeri. Saya telahpun berbincang bersama Pegawai Kewangan Negeri,” jelasnya pada sidang media selepas program penutup pameran dalam talian #MyDigitalMaker ‘MaiReka’ 2021 di Wisma Darul Aman, semalam.
Sementara itu pihaknya juga akan mengambil kira kerosakan akibat banjir di bawah agensi berkaitan yang tersenarai bersama seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Dalam masa yang sama, tindakan segera juga akan diambil berikutan terdapat beberapa paip di bawah Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang putus.
“Ada juga titi dan jambatan yang rosak. Titi ini pula difahamkan panjang dan mungkin melibatkan kos agak tinggi,” katanya lagi.
Sementara itu katanya lagi, banjir yang berlaku di daerah Pendang pula tidak menjejaskan banyak infrastruktur, sebaliknya hanya menyebabkan penduduk terputus hubungan.
Berdasarkan laporan yang diterimanya setakat ini, ia disebabkan hujan lebat dan bukannya berkaitan dengan sistem perparitan atau faktor lain. Namun, pihaknya akan memberikan perhatian untuk mengenal pasti punca terbabit.
“Terima kasih kepada ADUN-ADUN dan wakil rakyat yang bertindak pantas turun padang meninjau keadaan kesan banjir selain menziarahi mangsa dan memberi perhatian kepada masalah dihadapi penduduk,” katanya.
Pihaknya dan agensi berkaitan telahpun bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku ketika musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November depan.
Justeru, orang ramai juga perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan keadaan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku 4 Nov ini terutamanya mereka yang tinggal berhampiran laut dan muara sungai.
Sehingga pagi semalam seramai 446 mangsa banjir daripada 139 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah Baling, Pendang dan Pokok Sena. – HARAKAHDAILY 1/11/2021




















