
Oleh: SARINA ISMAIL
POKOK SENA: Prasarana yang rosak akibat banjir di Pokok Sena akan dibaiki segera untuk mengelak berlakunya kejadian sedemikian pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Wan Romani Wan Salim berkata, selepas banjir surut sepenuhnya, pihaknya akan melihat di mana punca kekangan yang menyebabkan berlakunya banjir agak besar di kawasan berkenaan pada Sabtu lalu.
“Banjir besar tidak pernah berlaku sebelum ini. Kali terakhir pada tahun 2010, itupun berpunca dari pembinaan lebuhraya baharu.
“Walau bagaimanapun, syukur kerana tiada berlaku kemalangan jiwa atau kecederaan,” katanya ketika ditemui HarakahDaily di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang, petang semalam.
Berikutan itu, pihaknya akan membuat pemantauan untuk mencari punca berlakunya banjir kali ini dan mengharapkan jabatan berkaitan membuat tindakan segera.
Sehingga semalam,beberapa lokasi yang ditenggelami air belum surut sepenuhnya lagi manakala lokasi paling terkesan kali ini katanya di Taman Permai dan Pekan Pokok Sena.
“Terdapat beberapa lokasi yang air banjir tidak surut sepenuhnya lagi. Air bergerak lambat kerana kebetulan air laut pasang,” jelasnya lagi.

Situasi itu katanya, kemungkinan akan menjadi lebih serius sekiranya berlaku lagi hujan lebat berterusan seperti dua hari lalu.
Hasil pemantauan semalam, hampir 30 kampung melibatkan zon DUN Bukit Pinang dan Bukit Lada terlibat namun sehingga kini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka.
Sungguhpun begitu, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang itu lagi, sebagai langkah persediaan, Sekolah Menengah Langgar akan dijadikan PPS untuk penduduk di zon DUN Bukit Pinang sekiranya keadaan bertambah serius.
Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Pokok Sena memaklumkan, PAS kawasan berkenaan telah memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk misi bantuan banjir kepada penduduk yang terlibat.
Sabtu lalu, beberapa jalan di Pokok Sena terpaksa ditutup akibat ditenggelami air berikutan hujan lebat melanda kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 1/11/2021




















