Wakil rakyat tidak patut herdik penjawat awam

Ahmad Dullah
- Advertisement -

Oleh ASIKIN AHMAD

KOTA KINABALU: Setiap wakil rakyat sebagai pemimpin masyarakat perlu menjadi contoh yang terbaik dan bertindak mengikut adat serta sopan.

Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah, berkata mereka perlu ingat bahawa jawatan yang disandang tidak akan kekal selamanya kerana arus politik boleh berubah dalam tempoh singkat.

- Advertisement -

Katanya, wakil rakyat tidak sepatutnya mengherdik penjawat awam ketika menjalankan tugas seperti yang dilakukan oleh seorang anggota EXCO kerajaan negeri yang bersikap tidak profesional kerana tidak berpuas hati dengan kualiti kerja yang dilakukan.

“Saya yakin ada cara terbaik untuk membetulkan keadaan itu. Jadi PAS Sabah melahirkan rasa kesal atas tindakan keterlaluan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kota Kemuning, V Ganabatirau.

“EXCO Kerajaan Negeri Selangor yang menengking dan memaki penjawat awam tidak wajar dibiarkan berlaku. Itu adalah suatu tindakan biadab bagi seorang wakil rakyat, apatah lagi EXCO Kerajaan Negeri,” katanya di sini.

Pelbagai pihak mengecam tindakan anggota EXCO berkenaan yang mengeluarkan perkataan agak keras terhadap penjawat awam secara terbuka di hadapan khalayak ramai.

Bagaimanapun selepas dikecam pelbagai pihak, anggota EXCO terbabit memohon maaf kepada penjawat awam berkenaan.

“Siapa pun tidak akan rela menerima herdikan serta kata-kata kesat seperti yang berlaku di Selangor,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/10/21

- Advertisement -