Senator Nuridah dianugerah `’Wanita Ra’idah’

- Advertisement -

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Mohd Salleh mendapat anugerah Wanita Ra’idah daripada Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM).

Anugerah Wanita Ra’idah diberi dalam Kongres Global Kesihatan Mental dan Kesejahteraan Keluarga Muslim (Global Congress of Muslim Mental Health and Family Well-Being) anjuran YADIM.

- Advertisement -

Anugerah sijil penghargaan itu ditandatangani Yang Dipertua YADIM, Ustaz Nasrudin Hassan.

Anugerah tersebut diumumkan pengacara Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia, Husna Hashim secara online selepas perasmian Muktamar DMPP kali ke-61 oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Nuridah, 60 mempunyai seramai 10 anak, di mana semuanya hafiz dan hafizah Al-Quran. Anak keduanya seorang perempuan merupakan orang kurang upaya (OKU) kini berusia 33 tahun, menjadi pemangkin kepadanya untuk mendekati dan menyantuni golongan OKU.

Beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Negara sejak November 2018 sehingga kini.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia politik dan sebagai pimpinan DMPP, beliau sering menyertai misi kemanusiaan dan dakwah, bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara seperti Misi Kemanusiaan dan Bantuan Musim Sejuk ke Syria dan Turki.

Selain itu Misi Kemanusiaan Antarabangsa ke Myanmar (Etnik Rohingya), Bangladesh dan Republik Czech, Misi Kemanusiaan Bencana ke Acheh atau Palu, Misi Dakwah Pulau Krismas dan Misi Food Flotilla For Rohingya.

Menjadi penasihat kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang fokus kepada kebajikan, wanita dan wanita muda, dakwah serta golongan feldawati.

Beliau juga mewujudkan Talian Sejahtera untuk menjadi mediator kepada wanita yang mempunyai masalah dan memerlukan bantuan dan khidmat nasihat dari sudut bimbingan kaunseling, agama, guaman, keselamatan siber, kesihatan keluarga dan kanak-kanak.

Kewibawaan dan karisma sebagai pemimpin wanita dan masyarakat, beliau berjaya melahirkan pelapis kepimpinan wanita. Di samping mewujudkan pelbagai inisiatif dan produk untuk kebaikan dan manfaat masyarakat khususnya wanita.

Antaranya; Membangunkan Akademi Pengajian Saidatina Aisyah yang memfokuskan pendidikan untuk wanita dalam bidang kepimpinan dan dakwah.

Menubuhkan Taman Asuhan Tunas Insan (TASTI) iaitu pusat asuhan bayi dan kanak-kanak (bayi hingga berusia 4 tahun). – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -