Pastikan Islam memimpin keluarga Malaysia – Ir Ts Khairil

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

PORT DICKSON: Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 tahun ini, mengangkat tema Memacu Perpaduan bagi menzahirkan aspirasi Pemuda PAS untuk berjiwa negarawan dan menjadikan agenda wehdah sebagai faktor kritikal dalam peralihan spektrum politik abad ke-21 yang semakin kompleks dan dinamik.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin, berkata Pemuda PAS sedang memberdayakan reformasi negara menuju fasa endemik.

- Advertisement -

Katanya, pertumbuhan pasca Covid-19 bukan hanya dengan merangka pemboleh ubah ekonomi, malah lebih utama ialah membina kerukunan perpaduan rakyat merentas kaum dan agama.

“Namun persoalannya, bagaimana merencana perpaduan dalam kemajmukan bangsa? Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS telah menggagaskan tiga prinsip utama penyatuan rakyat Malaysia.

“Pertama ialah Islam memimpin. Kedua, rakyat Malaysia sebagai sebuah keluarga besar dan ketiga, keadilan untuk semua. Semua prinsip ini diekstrak daripada tujuan penubuhan PAS seperti termaktub pada Fasal 5, Perlembagaan PAS, iaitu; Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini, sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah,” katanya.

Khairil Nizam berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-62 di Dewan Rembau, Corus Paradise Resort di sini, hari ini.

Perasmian muktamar yang berlangsung hari ini dan esok, bertemakan `Memacu Perpaduan’ dilakukan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia merangkap Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden.

Muktamar kali ini yang berlangsung secara hibrid dihadiri seramai 120 perwakilan daripada kalangan Ahli Jawatankuasa Kerja, Ketua-ketua Pemuda Negeri, pembahas negeri-negeri kecuali Sarawak dan Perwakilan Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan Negeri Sembilan.

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Kawasan seluruh negara yang lain mengikuti muktamar secara dalam talian di lokasi di negeri masing-masing.

Wakil pemerhati PAS Pusat pula ialah Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor dan Dato’ Awang Hashim.

Menurut Khairil Nizam, perjuangan PAS jelas, dasar PAS ialah Islam dan seruan PAS ialah Allahu Akbar serta menegaskan bahawa perjuangan PAS tidak apologetik dan pragmatik.

Katanya, prinsip dan pendekatan PAS disuluh daripada cahaya al-Quran dan as-Sunnah, manakala keabsahan perjuangan PAS tidak wajar dikompromi dengan kepentingan sempit dan tidak menguntungkan.

Beliau berkata, prinsip Islam Memimpin adalah berpandukan kepada firman Allah alam Surah An-Nur ayat 55 yang bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dalam kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orangorang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepada Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Sementara itu, katanya prinsip Rakyat Malaysia sebagai Satu Keluarga yang besar berpandukan kepada firman Allah di dalam Surah An-Nur ayat 1 yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

Katanya, Prinsip Keadilan untuk Semua pula berpandukan firman Allah di dalam Surah An-Nisa ayat 58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

Sehubungan itu, katanya misi besar ini mesti bermula dengan keinsafan terhadap kepentingan memupuk perpaduan dalam Islam.

“PAS tetap konsisten melapangkan dada mengajak Umno dan Bersatu serta pemegang taruh lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan Islam bukan kerajaan (NGI) menerima prinsip perpaduan ini,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda PAS memainkan peranan yang besar sebagai sebagai Agen Keharmonian Kaum bagi menghubungkan PAS dengan parti-parti dan NGO bukan Islam, serta terus mempertahan misi ini dan bersedia Memacu Perpaduan dalam ruang yang lebih luas lagi. – HARAKAHDAILY 30/10/21

- Advertisement -