Kerajaan luluskan diskaun peminjam: PTPTN ucap terima kasih

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merakamkan ucapan kepada kerajaan kerana meluluskan permohonan untuk memberi diskaun bayaran balik kepada golongan peminjam PTPTN.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau ambil maklum butiran yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan Bajet 2022 hari ini, yang telah mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2021 hingga 30 April 2022 dalam tiga cara.

- Advertisement -

“Pertama, diskaun 15 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman. Kedua, diskaun 12 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran. Ketiga, diskaun 10 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut judual,” jelas Tengku Zafrul dalam ucapan Bajet 2022 berkenaan.

Terdahulu, melalui kenyataan media pada 22 Okt lepas, Wan Saiful telah mencadangkan agar kerajaan membenarkan PTPTN meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dalam Bajet 2022, atau jika moratorium tidak dapat dilaksanakan, kerajaan perlu memberi diskaun kepada peminjam yang memenuhi kelayakan tertentu.

Sehubungan dengan pengumuman Tengku Zafrul dalam Bajet 2022 itu, Wan Saiful menegaskan, beliau akan mengarahkan pegawai-pegawai PTPTN membuat perancangan segera untuk melaksanakan skim diskaun berkenaan.

“Saya sentiasa prihatin dengan bebanan yang ditanggung oleh para peminjam PTPTN. Insha-Allah, saya akan berusaha membantu dari segi dasar-dasar yang mesra peminjam seperti skim diskaun ini.

“Persetujuan Menteri Kewangan meluluskan permohonan saya itu amat saya hargai, terutama dalam rangka kita membantu golongan anak-anak muda yang terbeban dengan suasana ekonomi sekarang,” ujarnya dalam satu kenyatan media, di sini, hari ini.

Tambahnya, beliau turut gembira dengan pelbagai peruntukan yang diberikan dalam rangka melindungi pekerjaan dan mencipta pekerjaan. 

“Ia akan banyak memberi manfaat kepada rakyat, terutama kepada  anak-anak muda dan golongan yang terkesan dengan Covid-19,” ujarnya. 

Menurut Wan Saiful lagi, pekerjaan yang stabil adalah penyelesaian sebenar kepada cabaran hidup rakyat. 

“Program yang diumumkan dalam Bajet 2022 seperti JaminKerja, MyStep, rebat cukai untuk penyertaan kursus peningkatan kemahiran, dan lain-lain lagi adalah intervensi penting untuk mewujudkan penyelesaian yang lestari. 

“Kita perlu memberi tumpuan kepada program-program sebegini agar kita dapat keluar dari kemelut ekonomi secara tuntas dengan kadar segera,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2021

- Advertisement -