
Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membantu lebih 4,700 anak-anak yang hilang tempat bermanja, apabila ibu dan bapa mereka pergi buat selamanya akibat virus Covid-19.
Menteri Kewangan, Senator Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebagai Keluarga Malaysia, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan masa depan anak-anak ini terus terjaga.
“Mengambil ibrah firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 220, kita diingatkan akan perlunya menjaga kesejahteraan anak-anak yatim,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata pada tahun hadapan, kerajaan menyediakan RM25 juta ringgit kepada Yayasan Keluarga Malaysia bagi memimpin usaha melindungi kebajikan, pendidikan dan masa depan anak-anak ini.
Sebagai tambahan, katanya kerajaan meminta semua pihak, terutama sektor korporat untuk sama menyumbang demi kebajikan anak-anak ini.
Sementara itu, katanya syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019, iaitu RM1,169 berbanding PGK 2016, iaitu RM980 sebelum ini.
Tengku Zafrul berkata, usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.
Oleh itu, katanya kenaikan ini membolehkan lebih ramai rakyat akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan peruntukan tambahan RM200 juta.
“Secara keseluruhan, RM2.4 bilion disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440,000 isi rumah memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/21




















