
RUU Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang telah diluluskan Dewan Rakyat semalam merupakan usaha kerajaan ke arah meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar sekali gus menjamin kelangsungan khazanah hidupan liar negara yang tidak ternilai harganya.
Hasil rundingan awam yang dilaksanakan pada tahun 2019 menunjukkan 97 peratus responden bersetuju agar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) ditambahbaik agar ianya responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk memulihara dan menguruskan hidupan liar dan aktiviti-aktiviti berkaitannya melalui penguatkuasaan Akta 716 yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan sahaja.
Adapun Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 terpakai di Negeri Sabah manakala Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 terpakai di Negeri Sarawak.
RUU ini merangkumi pindaan kepada 63 peruntukan, pemansuhan 7 peruntukan dan pengenalan 5 peruntukan baharu yang boleh dirangkumkan kepada 7 skop utama seperti berikut:
a. Penyelarasan dan pengukuhan hukuman dan penalti-
Menetapkan hukuman penjara selama 3 tahun ke atas bagi membolehkan kesalahan tersebut dikategorikan sebagai kesalahan boleh tangkap selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.
b. Meningkatkan kadar hukuman dan penalti-
Contohnya, denda maksimum bagi kesalahan berat seperti kes melibatkan pemburuan haram hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti Harimau Belang, Harimau Kumbang, Harimau Dahan, Kambing Gurun dan Seladang kini ditingkatkan denda maksimum daripada RM500,000.00 kepada RM1 juta manakala hukuman penjara maksimum ditingkatkan daripada 10 tahun kepada 15 tahun sebagai hukuman yang bersifat mencegah dan memberikan pengajaran yang sewajarnya kepada pelaku jenayah.
c. Peruntukan kesalahan bagi pengisytiharan palsu-
Tindakan perundangan dikenakan kepada kesalahan membuat pengisytiharan palsu dalam dokumen atau maklumat lain yang dikehendaki dalam permohonan lesen, permit dan permit khas.
d. Larangan penganjuran pertunjukan dan promosi hidupan liar
i. Mengehadkan penganjuran pertunjukan hidupan liar hanya kepada pemegang permit pengendalian zoo yang memiliki fasiliti mengikut standard yang ditetapkan
ii. Tindakan perundangan dikenakan kepada individu yang mengiklan atau mempromosi hidupan liar bagi maksud menjual atau menawarkan perolehan hidupan liar secara haram.
e. Peruntukan khusus bagi mengawal aktiviti melibatkan pengendalian dan perkhidmatan hidupan liar serta penggunaan hidupan liar dalam menjalankan aktiviti keagamaan, adat atau kebudayaan.
f. Pengenalan kutipan fi masuk dan fi aktiviti yang dijalankan di dalam rizab hidupan liar atau kawasan perlindungan hidupan liar.
g. Penyelarasan antara satu seksyen dengan seksyen yang lain agar tidak bercanggah.
Antara tanggungjawab kerajaan bukan sahaja menjaga manusia bahkan haiwan liar juga perlu dilindungi selaras dengan kehendak syariat agama.
Ia perlu diuruskan dengan baik agar konflik antara manusia dengan haiwan liar dapat ditangani dengan sebaiknya seperti gajah, harimau dan babi hutan yang masuk ke kawasan kampung.
Semoga dengan lulusnya RUU ini ia akan dapat memastikan langkah konservasi hidupan liar dengan lebih cekap dan berkesan.
SYED AHMAD FADHLI – HARAKAHDAILY 28/10/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/1333302954/posts/10226648969553753/





















