Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memastikan pemeliharaan dan pemuliharaan spesies haiwan liar yang semakin pupus dilakukan demi memastikan kelestarian ekosistem dan alam sekitar pada masa depan.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, berkata banyak spesies haiwan di Malaysia akan pupus jika tiada langkah drastik diambil bagi menangani kegiatan pemburuan haram yang semakin kritikal.
Katanya, ketika mengejar kemajuan dalam pelbagai aspek, kelestarian hidupan liar tidak boleh diabaikan kerana adalah aset penting dalam persekitaran dan ekosistem negara.
“Hidupan liar yang semakin pupus akan menyebabkan ekosistem menjadi tidak seimbang. Oleh itu, hidupan liar berhak dilindungi secara konsisten agar tidak mengalami kepupusan demi kepentingan generasi akan datang.
“Di kawasan saya, ketiadaan kawasan yang sesuai untuk penempatan dan sukar mendapatkan makanan menyebabkan gajah terpaksa merayau keluar dari hutan dan mengganggu penempatan manusia. Antara kawasan yang sering diganggu kumpulan gajah ialah di Sri Mengkuang dan Pasir Kelang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan 2021), Akta 716, di Dewan Rakyat, hari ini.
Abdul Latiff turut membangkitkan isu ancaman hidupan liar seperti kera dan babi hutan yang mengganggu kawasan perumahan penduduk dan memusnahkan tanaman serta kemudahan awam seperti padang bola.
Beliau meminta kerajaan menyelesaikan masalah itu dengan segera kerana telah lama berlarutan di kebanyakan kawasan kampung dan bandar.
Selain itu, katanya kerajaan perlu menyediakan peruntukan khas kepada kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menjalankan operasi menangkap dan memindah gajah liar yang mengganggu penduduk.
“Saya difahamkan kakitangan Perhilitan perlu mendapatkan dana sendiri kerana tiada peruntukan yang disediakan. Ini tentu akan meyulitkan operasi apabila melibatkan masa yang panjang, ada yang sehingga dua minggu atau lebih,” katanya.
“Saya juga ingin mencadangkan agar kerajaan menyediakan kenderaan pacuan empat roda baharu yang mencukupi dan sesuai untuk Perhilitan menjalankan operasi,” katanya.
Beliau juga meminta kerajaan meluluskan peruntukan bagi penyediaan kemudahan menempatkan haiwan bersesuaian di satu-satunya zoo di Kelantan, iaitu zoo mini dan taman hutan bandar di Kuala Krai. – HARAKAHDAILY 26/10/21