Dasar penyampaian kerajaan perlu diperbaiki

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menilai semula dasar pembangunan sedia ada supaya lebih telus dan memberi manfaat kepada negeri atau wilayah kurang membangun.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, berkata ini berikutan terdapat dasar pembangunan yang walaupun disokong dengan peruntukan besar, namun pelaburan yang dibuat tidak memberikan pulangan sepenuhnya kepada rakyat.

- Advertisement -

“Adakah manfaat yang sepatutnya diberikan kepada rakyat di bawah sejak sekian lama hanya dinikmati oleh 10 peratus pihak yang mengaut keuntungan besar di pertengahan jalan?

“Di mana silapnya dasar penyampaian kerajaan selama ini? Ini yang wajar dimuhasabahkan,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nik Mohamad Abduh bimbang jika dasar, peruntukan dan tumpuan yang diberikan kepada negeri kurang membangun hanya ibarat bunga api yang cantik dan indah, tetapi hanya seketika dan kemudian kembali ditenggelami kelam malam.

Katanya, ia tidak memberi nilai tambah kepada pembangunan kerana dasar penyampaian yang kurang sempurna dan tidak dibaiki.

Sementara itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi tumpuan terhadap kualiti pendidikan di negeri kurang membangun.

Katanya, kualiti pendidikan di negeri kurang membangun perlu diletakkan sebagai antara sasaran utama menjelang lima tahun akan datang supaya jurang perbezaan antara negeri dan wilayah kurang membangun dengan kawasan maju dapat dikurangkan.

“Penambahan bilangan institusi pendidikan bukan hanya fokus utama, tetapi lebih penting ialah peningkatan kualiti supaya setaraf dengan universiti terkemuka dalam dan luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -