
KUANTAN: Ciri mesti ada untuk seseorang itu menjadi bidadari adalah apabila mempunyai akidah sahih, ibadah yang betul mengikut sunnah Nabi S.A.W serta akhlak sebagaimana Rasulullah dan para Sahabat R.A.
Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor mengupas demikian pada Facebook Live ‘Akukah Bidadari Itu’ di platform media TV Makmur dan Dewan Muslimat PAS Negeri Pahang, baru-baru ini.
“Bila sebut bidadari, sebut politik, sebut pendidikan, sebut adab, ia sangat dekat dengan seorang wanita. Wanita paling berperanan mencorakkan generasi masa depan.
“Begitu juga kepimpinan dalam konteks demokrasi kerana wanita di negara ini menyumbangkan 50 peratus jumlah keseluruhan undi. Sudah tentu wanita itu mesti memiliki maklumat yang betul dan jelas.
“Mesti berilmu supaya pilihannya tidak salah dan tidak silap dalam kepimpinan negara. Tak pun sebagai calon, tetapi sebagai pengundi juga tetap penting,” kupas dengan mengaitkan peranan Saidatina Khadijah Khuwailid R.A dan Saidatina Aisyah Abu Bakar R.A.
Sebaliknya peringat beliau, jika wanita tidak berperanan sedemikian, mereka mungkin pula menjadi wanita-wanita yang tidak menjadi contoh baik seperti isteri Nabi Luth A.S, isteri Nabi Noh dan lain-lain di mana menjadi penentang agama.
Pilihan atau sokongan undi jelasnya, sangat penting kerana ia berkait dosa dan pahala di mana jika pemimpin dipilih atau disokong wanita itu menghalalkan perkara larangan agama atau mengharamkan setiap dihalalkan agama, maka sama-sama beroleh dosa.
Menyentuh mengenai tema ‘Keluarga Malaysia’ dibawa kepimpinan kerajaan baharu, Salamiah percaya dalam keluarga yang pelbagai cita rasa dan kemahuan ini jika dipandu agama pasti akan mewujudkan kebaikan.
“Akan lahir keluarga yang bahagia, saling memahami, menghormati, kasih mengasihi antara satu sama lain. Dalam masa sama saling berkorban demi kebaikan ummah. Sebab itu pentingnya negara ini membina modal insan.
“Juga jiwa rakyat yang akan mentadbir urus dengan baik, menyatupadukan umat dan memastikan tidak berlaku perpecahan atau perbalahan yang boleh memberi ruang atau menguntungkan musuh,” ujar beliau.
Beliau menyeru kaum wanita agar berusaha menjadi Bidadari Syurga dengan menyibukkan diri kepada amal soleh agar mendapat kerehatan di akhirat dan mengelak sebaliknya menerima balasan buruk di sana nanti.
Penolong Setiausaha Wanita Umno Pahang, Senator Dato’ Juhanis Abd Aziz sebagai seorang lagi ahli panel pula menyentuh mengenai kebejatan masalah sosial melibatkan anak-anak remaja yang berlaku pada hari ini.
Menurut beliau, hal tersebut memerlukan peranan pendidikan awal dari rumah dan kawalan terhadap pengaruh media sosial di mana ibu bapalah yang menjadi contoh pendorong terbaik di samping didikan agama selari dengan akademik.
“Mereka perlu dikawal bila meningkat dewasa, kerana mereka mencari identiti diri mereka sendiri. Pentingnya diterapkan nilai-nilai keagamaan, supaya mereka ada nilai diri tidak terjerumus kepada kemaksiatan di samping doa ibu bapa yang berterusan demi kejayaan mereka dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau juga mencadangkan agar Kementerian Pendidikan dapat mengadakan satu mata pelajaran yang khusus di sekolah agar anak-anak sejak didikan awal, dapat membenteng diri mereka dalam berdepan masalah sosial.
Beliau juga mengharapkan remaja-remaja yang terjebak dengan masalah sosial agar mendapatkan khidmat kaunseling dari pertubuhan-pertubuhan yang banyak menawarkan khidmat sedemikian.
Isu-isu wanita juga ulasnya, mesti terus diperjuangkan misalnya menerusi penggubalan atau pindaan akta-akta agar dapat menangani masalah sosial dan masalah wanita ini yang berlaku dalam masyarakat.
Beliau menegaskan sebagai Keluarga Malaysia, sikap saling hormat menghormati, perlu di pupuk demi perpaduan untuk mempertahankan keamanan dan kemakmuran negara, bersatu padu membangunkan negara dan rakyat.
Ketua Penerangan Muslimat PAS Pahang, Yusma Yusof berkata, program tersebut yang dimoderatorkan Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Kuantan, Mas Tohirah Sufi sangat menguji kecekapan dan pengetahuan pihaknya dalam selok belok teknikal secara maya.
“Ianya bukanlah mudah untuk mengendalikan satu program besar yang melibatkan capaian internet yang berkemungkinan terdapat gangguan ketika bersiaran, ianya sangat membimbangkan saya,” ujarnya.
Namun katanya, beliau sangat berpuas hati dan bersyukur dengan gandingan dua pasukan kerja iaitu dari TV Makmur dan Muslimat PAS Pahang sendiri yang akhirnya telah berjaya memaparkan program tersebut. – HARAKAHDAILY 23/9/2021




















