TV dan radio Makmur wadah penerangan PAS Pahang

- Advertisement -

TAMPIL dengan motto ‘Berilmu & Bermaklumat’, TV Makmur menjadi sebuah saluran televisyen internet alternatif yang menyiarkan pelbagai berita dan informasi semasa malar segar.

Saluran ini telah ditubuhkan pada bulan Februari 2011 bersempena Pilihan Raya Kecil DUN Kerdau. Pada peringkat awal penubuhannya, ia dikenali sebagai WebTV PAS Pahang sebelum dijenamakan semula sebagai TV Makmur.

Individu pencetus idea dan usaha ke arah kewujudan TV Makmur adalah mantan Pengarah Jabatan IT Pahang, Maktar Hashim ketika bersama Mohd Khairul Ikhwan Abd Nasir selaku petugas utama.

- Advertisement -

Menurut Ikhwan, antara misi dan visi TV Makmur adalah untuk menjadi sebuah media alternatif menyebarkan maklumat dan ilmu kepada masyarakat melalui penerbitan video seperti siri ceramah politik semasa, kuliah ilmu dan liputan isu masa kini.

“Dana operasi kami banyak bergantung daripada sumbangan dan derma orang ramai, projek-projek ekonomi yang kami jayakan dan di peringkat awal dahulu banyak dibantu dari dana PAS Negeri Pahang untuk membeli keperluan-keperluan awal operasi kami.

“Selepas kelahiran TV Makmur, pada Februari 2013 kami berjaya pula melahirkan ‘anak kedua’ iaitu radio internet Makmur FM yang hanya memerlukan capaian internet jauh lebih rendah sebagai alternatif kepada TV Makmur,” terang Ikhwan.

Beliau memaklumkan, saluran Makmur FM ini di awal penubuhannya hanya memutarkan lagu-lagu nasyid dan siaran semula ceramah-ceramah atau kuliah agama dalam bentuk audio yang dikendali secara ‘auto DJ’ iaitu tanpa kehadiran penyiar.

“Petugas memang tak ramai ketika itu dan kalau ada pun tak tetap. Tapi sekarang dengan penyertaan lebih ramai sukarelawan penyiaran, kedua-dua saluran tv dan radio ini semakin hidup dengan corak pengisian dan penyampaian yang pelbagai,” jelas Ikhwan gembira sambil memperkenalkan seorang lagi individu yang banyak berjasa sebagai penggerak utama TV Makmur dan Makmur FM iaitu Azahari Abdullah.

Azahari ketika dihubungi menyatakan perkenalan pertama beliau bersama TV Makmur dan Makmur FM adalah pada tahun 2016 bila mana beliau diminta membantu memperkasakan operasi kedua-dua saluran itu.

“Pada masa itu kedua-dua saluran tersebut diletakkan di bawah Lajnah IT PAS Pahang, dan kebetulan pula saya merupakan salah seorang ahli jawatankuasa lajnah tersebut. Maka atas rasa tanggungjawab saya menawarkan diri untuk membantu sebagai jurukamera, penyiar dan petugas teknikal.

“Saya kemudian menyusun pengisiannya agar kelihatan dan kedengaran sempurna mirip sebuah stesen tv dan radio biasa dengan menerbitkan rancangan-rancangan berformat dan berjadual,” kata Azahari yang juga mantan juru hebah dan penerbit sambilan RTM Pahang

Beliau kini menggalas amanah selaku Ketua Penerbit Rancangan TV Makmur dan Makmur FM di bawah seliaan Jabatan Penerangan dan Media Baharu PAS Pahang.

Terbaharu, TV Makmur telah menerbitkan 7 episod rancangan bual bicara bersiri dikenali ‘Lakaran Kehidupan’ dengan pendekatan berbeza menampilkan Yang Berhormat Ahli Dewan Negeri Pahang sebagai hos rancangan dan mewawancara individu dari kalangan masyarakat setempat pelbagai latarbelakang yang mempunyai kisah kehidupan yang menarik di kawasan diwakili mereka.

Turut diperbanyakkan adalah siaran secara langsung berjadual seperti kuliah-kuliah Maghrib, ceramah, forum, dan seumpamanya yang diterbitkan dari beberapa lokasi di negeri Pahang.

Kini, TV Makmur dan Makmur FM semakin mara kehadapan dengan keterlibatan para petugas sukarelawan dari seluruh negeri Pahang ditunjangi Ikhwan dan Azahari sebagai tonggak utama yang masih kekal istiqomah menghiasi persada media altenatif itu sejak 9 tahun lalu.

Orang ramai boleh memberikan sumbangan dan infaq untuk kelangsungan aktiviti dan operasi TV Makmur dan Makmur FM dengan menyalurkannya terus kepada dana.tvmakmur.com atau ke akaun Maybank 556020066810 (atas nama Makmur Event & Multimedia). 

KHAULAH AL AZWAR – HARAKAHDAILY 15/12/2020

- Advertisement -