
Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Program pendidikan serta kesedaran yang dilakukan secara berterusan mampu membendung penyalahgunaan media sosial yang mencetuskan kegusaran di kalangan orang ramai, terutama berkaitan vaksin Covid-19.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata kementeriannya mengambil pelbagai langkah untuk membendung, mencegah dan menguatkuasakan undang-undang bagi mengatasi masalah ini.
Katanya, ini termasuk usaha melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang melancarkan kempen ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi’.
“Kempen ‘Klik Dengan Bijak juga mendapat sambutan baik dan turut dijayakan oleh agensi berita lain, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penerangan Malaysia serta media elektronik dan cetak lain.
“Kementerian juga melalui SKMM telah melakukan program advokasi dengan penglibatan masyarakat seperti program Malaysia ICT Volunteer (MIV). Sepanjang tahun 2020, 83 program dilaksanakan dan pada tahun ini sehingga kini, 25 program dilaksanakan,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Azizah Dato’ Seri Panglima Mohd Dun (PN-Beaufort) di Dewan Rakyat, hari ini.
Azizah bertanyakan langkah proaktif yang diambil kerajaan untuk membendung penyalahgunaan media sosial, terutama aplikasi WhatsApp dan Facebook yang mencetuskan suasana gusar di kalangan orang ramai, terutama berkaitan vaksin Covid-19.
Annuar berkata, kerjasama rapat dan berterusan dengan pihak penyedia khidmat media sosial seperti Twitter, Facebook dan Google juga diperkemaskan untuk meningkatkan peranan demikian.
Katanya, sebuah pasukan tindak balas pantas telah dibentuk tahun lalu yang dianggotai pegawai berkemahiran dari SKMM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Sepanjang tahun lalu sehingga sekarang, sebanyak 479 penafian berita palsu telah dilaksanakan, iaitu 416 penafian pada tahun lalu dan 63 penafian tahun ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, portal Sebenarnya.my diwujudkan sebagai satu sumber bagi mendapatkan berita lebih tepat.
“Sejak 2020 hingga Julai lalu, portal ini mendapat 186 juta layaran dengan 9.83 juta capaian yang menunjukkan peningkatan amat tinggi sejak penularan Covid-19 berlaku,” katanya.
Sementara itu, katanya penguatkuasaan undang-undang turut diberikan perhatian, terutama Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia1988.
“Kementerian sedang meneliti lebih lanjut untuk memastikan kawalan yang berkesan bagi mengawal penularan berita palsu, terutama di WhastApp, Facebook dan saluran media lain,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/9/2021




















